Silap terjemah titah YDP Agong: MCMC mulakan siasatan - Fahmi

Fahmi berkata sebarang laporan polis mengenai isu itu adalah proses berasingan dan akan disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan berhubung dakwaan kesilapan terjemahan titah Yang di‑Pertuan Agong oleh sebuah portal berita susulan laporan orang awam, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan tindakan terhadap penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi sehingga boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.
“Pihak MCMC telah memaklumkan kepada saya mengenai isu kandungan dalam talian terbitan China Press yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Kebawah Duli Yang di‑Pertuan Agong ketika Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen semalam.
“Susulan aduan rasmi yang dibuat oleh orang awam, siasatan sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi berkata sebarang laporan polis mengenai isu itu adalah proses berasingan dan akan disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau turut menggesa Majlis Media Malaysia (MMM) memainkan peranan sebagai badan bebas yang bertanggungjawab memastikan pematuhan etika kewartawanan, menggalakkan pelaporan tepat dan bertanggungjawab serta bertindak sebagai platform kawal selia kendiri dalam menangani aduan berkaitan media secara profesional.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen melampau atau berbaur fitnah, khususnya di media sosial dan sentiasa menghormati institusi Raja selain memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


