KUALA LUMPUR: Pelaksanaan empat program pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkaitan COVID-19, iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra, dan Pengeluaran Khas, menyebabkan simpanan ahli menjadi rendah, dan sangat membimbangkan.

Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata, impak program-program berkaitan COVID-19 tersebut ke atas simpanan ahli adalah dianggarkan sebanyak RM155 bilion.

Daripada jumlah tersebut, beliau berkata, RM145 bilion adalah pengeluaran ahli, manakala hampir RM10 bilion lagi adalah program pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerjaan.

“Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, setakat 30 Jun 2022, seramai 6.62 juta ahli atau 52 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Daripada bilangan tersebut, 4.99 juta ahli atau 75 peratus adalah ahli Bumiputera.

“Pada masa yang sama, terdapat seramai 3.20 juta ahli berumur di bawah 55 tahun yang berada pada tahap simpanan yang amat kritikal iaitu kurang daripada RM1,000 di mana 2.58 juta ahli atau 81 peratus daripada mereka adalah ahli Bumiputera,” katanya lagi sewaktu persidangan Dewan Negara pada Isnin.

Sebagai perbandingan relatif, Mohd Shahar berkata, jumlah ahli Bumiputera iaitu seramai 8.22 juta orang adalah merupakan 64 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun.

Keadaan tersebut, jelas Ahli Parlimen Paya Besar itu lagi, menunjukkan kebanyakan ahli bumiputera adalah tertumpu dalam kalangan ahli yang mempunyai tahap simpanan KWSP yang rendah berbanding kaum-kaum lain.

Bagi membantu ahli menambah dan membina kembali simpanan persaraan mereka, beliau berkata, KWSP menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan ahli mencarum ke dalam KWSP.

Bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan, katanya lagi, mereka boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun syer pekerja iaitu 11% pada bila-bila masa.

Selain itu, mereka juga boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa tertakluk kepada amaun maksimum RM60,000 setahun.

Bagi ahli yang bekerja sendiri pula, jelasnya lagi, tiada pendapatan tetap atau di luar tenaga buruh seperti pelajar dan suri rumah yang berumur di bawah 60 tahun turut boleh memilih untuk mencarum secara sukarela, pada bila-bila masa mengikut kemampuan di bawah Program i-Saraan sehingga RM60,000 setahun.

“Sebagai insentif untuk menggalakkan golongan ini menyimpan di bawah i-Saraan, Kerajaan memberikan sumbangan sebanyak 15% daripada jumlah caruman, atau sehingga RM250 setahun,” kata Mohd Shahar.

Bagi Ketua Isi Rumah (KIR) atau isteri kepada KIR yang berumur di bawah 55 tahun dan berdaftar di bawah pengkalan data eKasih, Mohd Shahar berkata, mereka turut boleh mencarum secara sukarela di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia

“Di bawah program ini, ahli yang mencarum sekurang-kurangnya RM5 sebulan atau RM60 setahun adalah layak untuk menerima insentif daripada Kerajaan sebanyak RM40 sebulan atau RM480 setahun ke dalam akaun KWSP mereka.

“KWSP juga menitikberatkan kepentingan ke atas kesedaran dan pengetahuan mengenai perancangan kewangan dan persaraan dalam menyeimbangkan keperluan kewangan untuk hari ini dan kepentingan persaraan pada masa hadapan,” katanya lagi.