MALAYSIA
Sindiket 'counter setting': SPRM teliti rekod kewangan keluarga, kenalan rapat

Azam berkata siasatan agensi itu tidak hanya terhad kepada individu yang ditahan. - Foto fail/ BERNAMA
SEPANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti rekod kewangan ahli keluarga dan kenalan rapat individu yang telah ditahan setakat ini berhubung siasatan kes sindiket 'counter setting'.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan agensi itu tidak hanya terhad kepada individu yang ditahan, sebaliknya merangkumi semua yang mempunyai kaitan langsung atau tidak langsung dengan kes berkenaan.
"Sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan mereka, kita akan siasat. Ada antara mereka yang memberi alasan bagaimana wang itu diperoleh, dan kemudiannya disalurkan kepada pihak lain.
"Buat masa ini, kita panggil mereka sebagai saksi. Kita juga perlu mendapatkan penjelasan daripada individu yang mendakwa mereka telah memberikan wang kepada pegawai-pegawai kerajaan terbabit. Jadi dalam hal ini, kita akan teruskan siasatan dengan lebih lanjut," katanya.Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Ke-4, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan SPRM menerusi Op Rentas menahan seramai 30 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa pada Selasa.
Tangkapan dilaksanakan di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Suspek yang ditahan disyaki terlibat sindiket 'counter setting' dengan mereka dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga negara asing ke negara ini tanpa menerusi prosedur yang ditetapkan.
Susulan operasi itu juga, SPRM telah menyita wang tunai lebih RM200,000, barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, beg tangan, jam tangan dan peranti telekomunikasi, selain membekukan 57 akaun bank bernilai lebih RM2.7 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami