I. Geografi memberi peluang, institusi memberi kemakmuran
Sejarah Malaysia tumbuh di sepanjang sebuah laluan. Angin monsun membawa kapal dari Barat ke pelabuhan kita, lalu menahan mereka sehingga musim berubah. Dalam tempoh penantian itulah gudang dibina, syahbandar berkuasa, undang-undang laut digubal dan sebuah empayar lahir.
Portugis, Belanda, British dan Jepun datang bukan kerana Melaka kaya, tetapi kerana mereka memahami satu hakikat: sesiapa yang menguasai Melaka menguasai urat nadi rantau ini. Lima abad lalu, Tomé Pires penulis Portugis menulis dalam Suma Oriental dengan ungkapan "Whoever is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice”. Gantikan "Venice" dengan "ekonomi dunia", amaran itu masih bergema.
Selat Melaka: Nadi dunia di hadapan pintu rumah kita - Dari aspek trafiknya sepanjang tahun 2025, lebih 102,500 kapal direkodkan melalui Selat Melaka, berbanding kira-kira 94,300 kapal pada 2024, peningkatan hampir 8.7 peratus. Purata melebihi 280 kapal sehari. Angka ini daripada Jabatan Laut Malaysia, berasaskan sistem pelaporan STRAITREP bagi kapal 300 tan kasar (GT) ke atas.
Manakala nilai perdagangan pula menurut Kajian Center for Strategic and International Studies, menganggarkan lebih AS$2.4 trilion barangan melintasi Selat Melaka pada 2024 bersamaan 21 peratus perdagangan maritim global dan 10 peratus keseluruhan perdagangan dunia.
Manakala aliran tenaga pula seperti menurut jadual rasmi World Oil Transit Chokepoints keluaran U.S. Energy Information Administration(EIA), sebanyak 23.2 juta tong minyak sehari melalui Selat Melaka pada separuh pertama 2025 yakni 29 peratus daripada 79.8 juta tong perdagangan minyak maritim dunia.
Selat Melaka kini bukan sekadar chokepoint minyak terbesar dunia ia satu-satunya laluan sempit minyak utama yang masih berfungsi normal. Namun hakikatnya Selat Melaka adalah di bawah naungan UNCLOS 1982, yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa.
Tiga negara pantai, Malaysia, Indonesia dan Singapura ,menguruskannya bersama menerusi Tripartite Technical Experts Group sejak 1971 dan Cooperative Mechanism di bawah naungan IMO sejak 2007. Thailand yang bersempadan dengan pintu masuk utara menyertai rondaan Malacca Strait Patrols sejak 2008, tetapi bukan negara pantai Selat ini.
Kapal asing menikmati hak laluan transit di bawah UNCLOS. UNCLOS meletakkan dua garis merah. Perkara 44 melarang kita menghalang atau menggantung laluan transit, selat ini tidak boleh ditutup, walaupun sekejap. Perkara 26 pula melarang sebarang bayaran dikenakan kepada kapal asing semata-mata kerana ia melintas; yang dibenarkan hanyalah caj bagi perkhidmatan sebenar seperti pandu laut atau tunda.
Namun di sebalik dua larangan itu, Perkara 41 dan 42 memberi negara pantai kuasa menetapkan lorong pelayaran, skim pemisahan trafik, serta undang-undang keselamatan pelayaran dan pencemaran di dalam selat dengan syarat cadangan itu dibawa dan diluluskan di International Maritime Organisation(IMO).
Kuasa itu memang telah kita gunakan. Skim Pemisahan Trafik Selat Melaka, yang diluluskan IMO berkuat kuasa 1981, membahagikan selat kepada lorong satu hala supaya kapal tidak berselisih. STRAITREP, sistem pelaporan kapal wajib yang mula beroperasi pada 1 Disember 1998, meliputi kapal 300 tan kasar ke atas, kapal sepanjang 50 meter ke atas, serta semua kapal yang membawa kargo berbahaya tanpa mengira tonaj.
Kedua-dua STRAITREP dan Skim Pemisahan Trafik 1981 bermula sebagai cadangan tiga negara pantai kepada IMO, selaras dengan Perkara 41(4) UNCLOS yang memperuntukkan bahawa organisasi antarabangsa hanya boleh meluluskan skim yang dipersetujui negara pantai.
Geografi hanya membuka peluang. Yang menentukan sama ada peluang itu bertukar menjadi kemakmuran ialah Institusi yakni pertamanya, siapa yang menetapkan syarat dan kedua,siapa yang sekadar menerima syarat. Kita telah lama berada di kumpulan kedua. Kerana itu, apa yang sedang disiapkan di Pantai Timur membawa maksud lebih dalam daripada pengangkutan.
Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer dengan 20 stesen dengan jajaran Fasa 1 sepanjang 519 kilometer (km) dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak kini mencatatkan kemajuan melebihi 95 peratus dan telah memasuki fasa ujian dan pentauliahan sebelum operasi pada Januari 2027. Buat kali pertama, sebuah koridor merentas paksi timur–barat yaitu paksi yang selama ini terhalang oleh banjaran dan diabaikan ekonomi mulai dicipta melalui keputusan strategik negara, bukan diwarisi daripada geografi.
Perbezaan antara diwarisi dan dicipta bukan soal semantik. Operation Epic Fury dilancarkan pada 28 Februari 2026 dengan sasaran ketenteraan, bukan pelayaran. Selat Hormuz masih menerima kapal pada hari itu. Ia diisytiharkan tutup pada 2 Mac bukan oleh serangan, tetapi oleh tangan yang membalas serangan.
II. Pelajaran Hormuz: Keraguan yang mahal
Seluruh rantaian perdagangan boleh terhenti kerana satu-satunya yang runtuh ialah keyakinan bahawa kapal itu akan selamat sampai. Dalam perdagangan maritim, kapal bergerak dengan enjin tetapi pasaran bergerak dengan keyakinan. Apabila keyakinan karam, kapal tidak perlu tenggelam untuk perdagangan dunia terhenti.
Perhatikan bentuk lengkungnya. Sebelum krisis, premium risiko perang tambahan bagi transit Hormuz berlegar sekitar 0.25 peratus nilai badan kapal. Selepas kawasan itu disenaraikan semula (listed area) oleh Jawatankuasa Perang Bersama Lloyd’s, kadarnya melompat ke julat satu sehingga tiga peratus dalam beberapa hari dan sehingga lima peratus bagi kapal berkaitan Amerika, Britain atau Israel.
Menjelang 11 Mac, sebelas hari selepas serangan pertama, Lloyd’s List melaporkan sebut harga 7.5 peratus bagi kapal berisiko tinggi. Kadar itu reda dua kali. Pertama, selepas gencatan senjata April, apabila premium turun semula ke sekitar satu peratus. Kedua, selepas Memorandum Islamabad ditandatangani pada 17 Jun.
Kemudian ia melonjak semula: pada 22 Julai, Marsh melaporkan 7.5 hingga 10 peratus. Untuk sebuah kapal tangki bernilai AS$100 juta, bil insurans satu pelayaran naik daripada kira-kira $250,000 kepada antara $7.5 juta dan $10 juta.
Perhatikan di mana lengkung itu bergerak. Ia turun apabila dokumen ditandatangani bukan apabila periuk api dibersihkan. Perkara 5 memorandum itu sendiri menetapkan pembersihan periuk api akan dilaksanakan dalam tempoh 30 hari selepas ditandatangani. Namun pasaran memberi harga kepada tandatangan, bukan kepada dasar laut. Tanpa lindungan, tiada pemilik kapal waras sanggup belayar. Tanpa kapal, tiada muatan. Trafik runtuh daripada purata kira-kira 73 kapal sehari kepada dua kapal pada 2 Ogos 2026.
Walau disebut Iran selaku pencetus yang memberi risiko terhadap Hormuz tetapi yang memberi harga kepadanya dan memutuskan sama ada kapal belayar atau tidak ialah di London, Geneva, Hamburg dan Marseille. Kesemua 12 ahli International Group of P&I Clubs, yang melindungi 90 peratus tonaj lautan dunia, membatalkan perlindungan perang tertentu dengan notis 72 jam.
MSC menggantung tempahan kargo seluruh dunia ke Timur Tengah. Hapag-Lloyd mengenakan surcaj risiko perang secara retroaktif termasuk ke atas kargo yang sudah berada di atas air. CMA CGM mengutip $2,000 hingga $4,000 sekontena melalui Emergency Conflict Surcharge. Kedaulatan ke atas aliran perdagangan telah beralih kepada segelintir entiti yang mampu mengubah laluan, kos dan kontrak dunia melalui satu notis.Yang paling mengganggu bukanlah kekurangan kapasiti.
Marsh menganggarkan kapasiti perlindungan badan kapal global pada $2.5 hingga $3 bilion, sementara kebanyakan kapal yang melalui Hormuz bernilai kurang $100 juta secara teorinya perlindungan boleh ditempatkan dua puluh lima kali ganda. Duitnya ada. Apa yang tiada ialah kesanggupan.
Soalan strategik bukan lagi bagaimana menarik lebih banyak kapal, tetapi bagaimana negara kekal bernilai ke mana pun kapal beralih. Krisis itu belum berakhir. Setakat pertengahan Ogos 2026, lebih lima bulan selepas hari pertama IMF PortWatch masih merekodkan transit harian dalam angka satu digit berbanding baseline pra-krisis kira-kira 73 sehari, dengan Brent bertahan di paras lapan puluhan dolar. Keamanan boleh diisytiharkan melalui satu dokumen. Kepastian tidak boleh. Aset paling mahal abad ini barangkali adalah kepastian.
III.Kita memiliki kekangannya, bukan nilainya
Negara yang kaya sumber dan bergantung pada laluan orang lain sentiasa hidup terdedah. Iraq mempunyai minyak yang cukup untuk membiayai sebuah benua, tetapi minyak yang tidak dapat keluar hanyalah cecair mati dalam tangki. Qatar mempunyai gas yang diperlukan separuh dunia, tetapi gas yang tidak boleh belayar cuma tekanan dalam paip. Negara-negara itu bukan contoh yang jauh: analisis CSIS mendapati enam negara Teluk yaitu Oman, Arab Saudi, UAE, Qatar, Kuwait dan Iraq bergantung pada Selat Melaka untuk sekurang-kurangnya 40 peratus eksport mereka.
Ada sebuah beting pasir di luar Pelabuhan Klang yang menentukan saiz kapal tangki terbesar di dunia. Namanya Permatang Sedepa. Dalam carta antarabangsa ia dipanggil One Fathom Bank dan rumah apinya dijaga Jabatan Laut Malaysia. Setiap jurutera kapal di Korea Selatan dan Jepun tahu. Sebabnya mudah. Di situlah dasar laut naik mendadak, menjadikannya tempat paling cetek sepanjang Selat Melaka.
Peraturan antarabangsa mewajibkan setiap kapal besar mengekalkan sekurang-kurangnya 3.5 meter air di bawah lunasnya yakni jarak keselamatan supaya kapal tidak mencecah dasar. Tambah pula ruang untuk ombak dan untuk kapal yang turun sedikit ketika bergerak laju. Apa yang tinggal untuk muatan menjadi terhad.
Daripada kiraan itu lahir satu had yang mengikat seluruh industri perkapalan dunia. Kapal tangki yang hendak melalui Selat Melaka tidak boleh melebihi 20.5 meter dalamnya, kira-kira 333 meter panjang, dan 60 meter lebar. Industri memberinya nama tersendiri: Malaccamax. Fikirkan apa maksudnya. Apabila sebuah limbungan melukis kapal tangki baharu, mereka terpaksa berhenti pada satu ukuran.
Ukuran itu bukan ditentukan oleh teknologi. Bukan oleh kos. Bukan oleh mana-mana badan antarabangsa.Ia ditentukan oleh sebuah beting pasir dalam perairan kita. Di situlah letaknya kedudukan Malaysia dalam bentuknya yang paling jujur.
Selat ini datang kepada kita tanpa diminta. Ia tidak boleh dijual dan tidak boleh diperbaiki. Kita boleh menambah baik rondaan, memperkemas pandu arah, membesarkan pelabuhan di tebingnya tetapi kita tidak boleh melebarkannya dan tidak boleh mendalamkannya. Bentuknya ditentukan alam, bukan dasar. Maka kita memegang kekangan yang membentuk perkapalan dunia, tanpa memegang nilai yang mengalir daripadanya. Kita menanggung risiko tumpahan, kos rondaan dan beban pandu arah.
Landasan pula lain sama sekali. Ia harta. Ia wujud kerana keputusan; ia boleh diperbesar, dinaik taraf dan disambung. Syaratnya ditetapkan oleh kita: tarif, keutamaan dan siapa mendapat slot ketika krisis. Itulah jarak antara kehadiran strategik dan kedaulatan strategik.
Kita menganggap Selat Melaka selamat kerana laluannya tidak pernah tertutup sejak 1970-an. Tetapi tidak tertutup bukan bermakna aman. Pada 2005, serangan lanun dan rompakan menjadi kerap sehingga Jawatankuasa Perang Bersama Lloyd’s mengelaskan Selat ini sebagai kawasan berisiko perang dan pengelasan itu digugurkan pada Ogos 2006, selepas tiga negara pantai melancarkan rondaan laut dan udara bersama. Keamanan politik hanyalah satu daripada tiga sumber risiko. Dua lagi tidak memerlukan sesiapa pun berniat jahat: kesesakan dan kemalangan.
Sebuah kapal terkandas di Permatang Sedepa dalam perairan kita, di bawah VTS kita. Atau satu perlanggaran di Phillip Channel, di mana lorong menyempit kepada 2.8 kilometer dan di mana kita tiada kuasa penguatkuasaan langsung. Bahaya itu bukan andaian: salah satu projek pertama di bawah Cooperative Mechanism ialah pembuangan bangkai kapal yang terbenam dalam lorong pelayaran itu sendiri.
Kerana chokepoint hari ini bukan sebuah tempat. Ia satu keadaan fikiran pasaran yang timbul apabila sesuatu laluan tiada gantian munasabah dan pasaran tahu hakikat itu. Laluan itu tidak perlu ditutup. Cukup dengan kepercayaan bahawa ia mungkin terganggu dan selebihnya diselesaikan oleh penanggung insurans dan algoritma penetapan harga.
Pada Mac 2021, Terusan Suez lumpuh selama enam hari apabila Ever Given tersasar lalu terkandas merentangi laluan sempit itu. Bukan kerana perang. Bukan juga sabotaj. Hanya gabungan angin kencang, geometri sebuah terusan dan kemungkinan kesilapan manusia.
Perhatikan betapa sederhananya punca yang mampu melumpuhkan perdagangan dunia: periuk api, kesesakan, angin dan kesilapan manusia. Tiada satu pun daripadanya perlu menyentuh walau sebatang landasan di Malaysia. Di situlah terletaknya nilai strategik ECRL membina kepastian di daratan ketika laluan laut berdepan ketidakpastian.
IV. Satu bil, kita runding, satu lagi kita terima
Ada dua bil, bukan satu - Setiap kali ECRL dibahaskan, perbincangan tentunya berlegar pada kos pembinaan. Angkanya besar dan tersurat dalam belanjawan, jadi ia mudah dijadikan senjata. Tetapi itu hanya satu daripada dua bil. Yang kedua ialah kos yang kita tanggung kerana tidak mempunyai laluan kedua dan bil itu tidak pernah muncul dalam mana-mana penyata.
Supaya tiada salah faham kita terima bahwa ECRL tidak menggantikan Selat Melaka dan tidak akan memindahkan minyak Teluk ke China. Ia tidak mengubah premium insurans di Hormuz walau satu sen. Sesiapa yang menjanjikan lebih daripada itu sedang menjual sesuatu yang tidak boleh dihantar dan janji sebegitu akhirnya merosakkan projek yang cuba dipertahankan.
Soalan yang sebenarnya dijawab. Apa yang ECRL lakukan ialah menjawab satu soalan yang bernilai berbilion. Sebelum sebuah syarikat multinasional membina kilang di sini, ia menjalankan penilaian risiko rantaian bekalan. Salah satu soalan wajibnya berbunyi begini: "Jika berlaku gangguan serantau, berapa laluan keluar yang ada dari lokasi ini?" Hari ini jawapan Malaysia hanya satu.
Mulai 2028, ia menjadi dua. Dalam borang penilaian itu, perbezaan antara satu dan dua bukan perbezaan kecil. Ia perbezaan antara satu titik kegagalan serta satu pilihan dan skor itu masuk terus ke dalam perbandingan kos, bersebelahan dengan upah, cukai juga kos tenaga. Inilah bahagian yang paling mahal, dan paling sukar dilihat.
Bahawa ketidakpastian ada harganya bukan teori. Ketika krisis 2026, premium risiko perang bagi transit Hormuz melonjak. Kesannya menular ke bawah. Syarikat terpaksa menyimpan stok penampan yang mengikat wang tanpa pulangan. Sebuah kilang yang kehabisan satu komponen bernilai beberapa ringgit boleh terhenti sepenuhnya dan kerugiannya bukan harga komponen itu tetapi keluaran yang tergendala, gaji yang tetap dibayar dan pelanggan yang beralih.
Semua wang itu dibayar. Tiada satu sen pun meninggalkan aset. Maka soalannya perlu ditukar. Bukan “berapa mahal landasan itu?” tetapi “berapa mahal kita membayar kerana tiada landasan?” Kos membina perlu dibandingkan dengan kos tidak membina. Tetapi perbezaan terpenting antara kedua-dua bil itu bukan jumlahnya. Ia merujuk kepada siapa yang memegang pen.
Bil pertama: kita yang menulis. Kos landasan ditentukan oleh kita. Kita yang merundingkan harganya, menetapkan jadualnya, memilih jajarannya dan mengetahui jumlahnya sampai ke sen terakhir. Ia boleh dibahaskan di Dewan Rakyat, diaudit, dipersoalkan dan diperbetulkan. Itu sifat kos yang berada dalam kawalan sendiri.
Bil kedua: orang lain yang menulis. Kos kerana tiada laluan kedua ditetapkan penaja jaminan di London yang tidak pernah melihat pelabuhan kita. Oleh pasaran tambang yang bergerak mengikut berita dari Teluk. Oleh mesyuarat lembaga di Osaka atau Frankfurt yang keputusannya tidak pernah sampai ke pengetahuan kita. Tiada rundingan. Tiada rayuan. Tiada nombor telefon untuk dihubungi. Kita hanya menerima invoisnya dalam bentuk premium yang lebih tinggi, tambang yang melonjak, stok yang terpaksa disimpan dan kilang yang dibina di negara lain.
Di situlah maksud sebenar kedaulatan. Ia tiada kaitan dengan bendera atau ucapan. Sebuah negara berdaulat bukan negara yang tidak membayar; setiap negara membayar. Sebuah negara berdaulat ialah negara yang tahu berapa yang dibayarnya, kepada siapa dan atas sebab apa kerana hanya dengan pengetahuan itu ia boleh membuat pilihan. Selama ini kita membayar bil kedua tanpa pernah melihatnya, lalu berbahas panjang tentang bil pertama seolah-olah ia satu-satunya yang wujud. ECRL tidak menghapuskan bil kedua. Tiada projek yang mampu.
Apa yang dilakukannya ialah memindahkan sebahagian daripadanya ke lajur yang kita kawal. Itu sahaja. Tetapi dalam dunia di mana kepastian semakin mahal dan semakin jarang, memindahkan kos daripada lajur orang lain ke lajur sendiri bukan perkara kecil.Ia perbezaan antara membayar sewa dan memiliki kunci.
V.Pintu yang syaratnya kita tulis
Kita akur bahawa Selat Melaka bukan milik mutlak kita, dan tidak akan pernah menjadi milik kita sepenuhnya. Kita juga tidak boleh menutupnya; Perkara 44 UNCLOS melarangnya. Kita tidak boleh mengenakan tol; Perkara 26 melarangnya. Malaysia menghormati kedua-dua larangan itu dan akan terus menghormatinya, kerana hari kita melanggarnya adalah hari kita kehilangan hujah moral yang selama ini melindungi kita.
Landasan lain sama sekali ceritanya. Di atas rel kita sendiri, kitalah yang menetapkan tarif. Kitalah yang menentukan keutamaan. Kitalah yang memutuskan muatan siapa bergerak dahulu apabila ruang menjadi sempit. Tiada konvensyen antarabangsa yang menghalang dan tiada kuasa besar yang boleh mempertikaikannya. Perbezaan itu jarang disebut, tetapi ia perbezaan yang paling penting dalam keseluruhan perbincangan ini. Buat pertama kalinya dalam sejarah moden kita, kita akan memiliki sebuah pintu yang syaratnya kita tulis sendiri.
Namun kejujuran menuntut sempadan yang jelas dan sempadan itu perlu diletakkan oleh kita sendiri sebelum diletakkan oleh pengkritik. ECRL tidak akan menggantikan Selat Melaka. Sebuah kapal kontena besar membawa sehingga 20,000 TEU; satu servis rel membawa dalam lingkungan ratusan. Nisbahnya bukan satu berbanding sepuluh, tetapi satu berbanding beratus.
ECRL juga tidak akan mengangkut minyak mentah dalam jumlah bermakna; tangki strategik kita yang nipis itu perlu diisi dengan cara yang lain sama sekali. Sesiapa yang menjanjikan lebih daripada ini sedang menjual sesuatu yang tidak boleh dihantar dan janji sebegitu akhirnya merosakkan projek yang cuba dipertahankan.
Apa yang ECRL berikan lebih berharga. Sebuah kapal yang tidak dapat melalui Selat Melaka masih boleh belayar ke selatan mengelilingi Indonesia melalui Selat Lombok atau Sunda, masuk ke Laut China Selatan, dan berlabuh di Pelabuhan Kuantan. Laluan itu wujud hari ini dan sudah pun digunakan oleh kapal yang melebihi had Malaccamax.
Perbezaannya terletak pada apa yang berlaku selepas kapal itu berlabuh. Tanpa landasan, kargo tersebut terperangkap di Pantai Timur, ratusan kilometer daripada pasaran dan pelabuhan barat. Dengan landasan, ia sampai ke Pelabuhan Klang dalam beberapa jam.Itulah jarak antara laluan yang panjang dan laluan yang buntu,dan dalam krisis, jarak itu bernilai segala-galanya.
Di sinilah kedudukan Malaysia berubah dan berubah dengan cara yang belum kita namakan. Selama ini kita ialah negara yang menjaga laluan. Kita membiayai rondaan, menanggung risiko tumpahan, memikul beban pandu arah dan menyelenggara alat bantuan navigasi sementara bahagian paling bernilai dalam rantaian itu, iaitu bunkering, insurans, timbang tara dan pengelasan kapal, dikutip di tempat lain. Kita memiliki kekangannya, bukan nilainya.
Mulai 2028, secara totalnya kita boleh menjadi sesuatu yang berbeza: menjadi negara yang menawarkan laluan. Perbezaan antara menjaga dan menawarkan bukan perbezaan retorik. Menjaga bermakna kita menanggung kos yang ditetapkan keadaan. Menawarkan bermakna kita menetapkan harga.
Dunia hari ini tidak kekurangan negara yang boleh mengeluarkan barang. Kilang boleh dibina di mana-mana, dan modal bergerak lebih pantas daripada sebelumnya. Yang semakin berkurangan ialah tempat yang boleh menjanjikan barang itu akan sampai pada masanya, pada harganya, walaupun pada tahun apabila selat menjadi sempit dan penanggung insurans mula menarik diri.
Janji itu kini berada dalam genggaman kita. Ia sudah dibina, sudah dibayar, dan sudah pun berdiri merentasi empat negeri sepanjang 665 km. Apa yang tinggal hanyalah keberanian untuk mengiktiraf bahawa ia bernilai dan disiplin untuk menuliskannya sebelum ia diperlukan.
VI.Doktrin laluan kedua
Nilai sebuah projek besar bukan sekadar pada apa yang dibawanya hari ini, tetapi pada pilihan yang disediakannya untuk hari esok. Setahun penuh kargo ECRL, berdasarkan unjuran rasmi terkini, bersamaan kurang daripada lapan hari aliran minyak yang melintas di hadapan rumah kita. Namun sesiapa yang meletakkan kedua-dua angka itu bersebelahan lalu menghukum rel sebagai terlalu kecil telah memilih ukuran yang salah.
Satu mengukur jumlah aliran; yang satu lagi mengukur ruang pilihan. Nilai sebenar sebuah infrastruktur terletak pada berapa banyak pilihan yang masih tinggal ketika negara berhadapan dengan hari paling buruk. Kita terbiasa menilainya dengan angka pada waktu senang, tan setahun, penumpang sehari dan pulangan atas pelaburan. Semua itu ukuran waktu aman, sedangkan waktu aman tidak pernah benar-benar menguji ketahanan sesebuah sistem. Ujian sebenar hanya bermula pada pagi ketika sesuatu tersekat dan kita terpaksa bertanya: apakah yang masih boleh bergerak?
Maka sebelum sesebuah projek besar diluluskan, dua soalan mesti dijawab. Berapa banyak jalan keluar yang kita miliki dan bolehkah semuanya tersekat serentak? Tiga pembekal yang menghantar melalui selat yang sama bukanlah tiga jalan. Itu cuma satu jalan dengan tiga invois.
Di sinilah kita perlu memperjelas maksud sebenar laluan kedua. Laluan kedua bukan sekadar laluan tambahan. Selat Sunda dan Lombok sering disebut sebagai alternatif kepada Selat Melaka, tetapi kedua-duanya tetap laluan laut, masih terdedah kepada cuaca, premium insurans, ketegangan serantau dan keputusan negara lain.
Apabila satu laluan terganggu oleh krisis serantau, yang lain belum tentu kekal bebas. Itu mungkin lencongan, tetapi belum tentu pilihan yang benar-benar berbeza. Kita juga mesti jujur tentang perkara yang boleh dan tidak boleh diselesaikan oleh ECRL.
Rel tidak dapat mengisi tangki yang kosong. Itu menuntut dasar yang berbeza: kewajipan stok minimum, kemudahan simpanan strategik dan keputusan tegas tentang pihak yang mempunyai kuasa untuk mengaktifkan pelepasan stok ketika krisis. Semua itu mesti diselesaikan secara berasingan dan tidak boleh disembunyikan di sebalik pembinaan sebuah landasan.
Namun bagi kargo, bahan mentah industri dan barangan eksport, ECRL menawarkan sesuatu yang jauh lebih penting: sistem yang tidak gagal atas sebab yang sama seperti laluan laut. Kesesakan lorong pelayaran tidak menghentikannya. Bangkai kapal tidak menutup landasannya.
Premium risiko perang di laut tidak serta-merta menaikkan tarifnya. ECRL mampu mengangkut jumlah yang bermakna, sementara syarat penggunaannya dapat kita tentukan sendiri,siapa yang diberikan keutamaan dan kargo mana yang mesti bergerak terlebih dahulu ketika negara berdepan kesukaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut agar ECRL benar-benar menjadi pemangkin perubahan bagi Pantai Timur dan membuka kemungkinan jajaran ini dilanjutkan hingga ke sempadan Thailand. Kenyataan sebegini menunjukan pada peringkat tertinggi negara, ECRL tidak pernah difahami sebagai sekadar sebatang landasan. Namun pemangkin tanpa peraturan hanyalah sebuah binaan. Harapan seorang Perdana Menteri ialah memerlukan sebuah dokumen dasar, bukan sekadar sebuah upacara.
Perlu juga diakui bahawa ECRL tidak memintas Selat Melaka sepenuhnya kerana Pelabuhan Klang sendiri terletak di pesisir selat tersebut. Apa yang dipintasnya ialah leher botol di bahagian selatan sistem selat, kawasan laluan menyempit dan risiko kesesakan menjadi paling tinggi. Kapal dari Asia Timur boleh singgah di Kuantan, memindahkan muatan ke rel, kemudian menghantarnya ke Pelabuhan Klang tanpa melalui titik tersempit itu, sekali gus berpotensi menjimatkan satu hingga dua hari pelayaran. Itulah nilai sebenarnya dan nilai itu sudah cukup besar tanpa perlu dilebih-lebihkan.
Masalahnya, peraturannya masih belum ditulis. Jika selat tersekat esok pagi, siapakah yang berkuasa mengisytiharkan keadaan darurat logistik? Kargo siapakah yang didahulukan? Apakah barangan yang dikategorikan sebagai strategik? Siapakah yang menanggung kos apabila kapasiti diberikan kepada kepentingan negara?
Masa yang tinggal pula lebih singkat daripada yang disangka. Tren pertama dijadualkan bergerak pada Januari 2027, manakala jambatan darat yang bersambung ke Pelabuhan Klang menyusul setahun kemudian. Dua tarikh itu membawa dua tanggungjawab, namun buku peraturannya mesti siap sebelum tarikh yang pertama, bukan menunggu tarikh yang kedua. Kerana apabila roda mula berpusing, peraturan tidak lagi ditentukan oleh dasar. Ia akan ditentukan oleh kontrak, kapasiti yang telah ditempah dan kepentingan yang terlebih dahulu menguasai sistem. Tanpa peraturan, kita belum memiliki jalan kedua. Kita cuma memiliki sebatang rel.
VII.Penutup: Kita berhenti meminjam takdir
Selama lima abad, kedudukan Malaysia dalam ekonomi dunia dibentuk oleh suatu takdir geografi yang tidak kita pilih. Kita lahir di persisiran sebuah selat yang menghadiahkan kemakmuran, mencorakkan sejarah, mengundang penjajahan dan mewariskan kerentanan semuanya dalam satu jalur perairan yang sama. Namun apa yang sedang dibina di Pantai Timur ialah ikhtiar besar sebuah negara untuk menulis semula batas takdirnya; bukan dengan membelakangi Selat Melaka, kerana selat itu akan terus menjadi nadi perdagangan kita, tetapi dengan keberanian mengakui bahawa menerima warisan tidak bererti kita mesti tunduk kepada segala batas yang diwariskan.
Inilah makna sebenar game of the impossible bagi sebuah negara: bukan sekadar menakluk sesuatu yang dianggap mustahil, tetapi berani mempersoalkan siapakah yang berhak menentukan sempadan kemungkinannya. Di situlah terletaknya power of the unknown kuasa pada nilai yang belum terserlah, pada keupayaan yang belum diuji dan pada masa depan yang belum dapat dihitung sepenuhnya.
Nilai sebenar ECRL mungkin tidak pernah benar-benar kelihatan ketika dunia berada dalam keadaan tenang. Ia akan sentiasa dipersoalkan sebagai terlalu mahal sehinggalah tiba suatu hari apabila kos untuk tidak memilikinya jauh lebih mahal. Pada hari itulah ECRL tidak lagi dilihat sekadar sebagai landasan rel, tetapi sebagai jalur kedaulatan, benteng daya tahan dan keberanian Malaysia menentukan haluan masa depannya sendiri.
Tahun 2026 sepatutnya sudah menyampaikan mesej itu. Dunia menyaksikan sebuah selat ditutup dalam masa dua hari dan hampir enam bulan kemudian ia masih belum pulih. Satu memorandum ditandatangani pada bulan Jun; ia runtuh beberapa minggu kemudian. Yang paling menakutkan bukan penutupan itu, tetapi betapa mudahnya ia berlaku dan betapa sukarnya keyakinan dipulihkan setelah hilang.
Januari 2027 akan tiba dengan upacara, ucapan dan gambar tren pertama. Hakikatnya, yang bermula ialah sesuatu yang jarang berlaku dalam hayat sesebuah negara: hari pertama kita berhenti hidup sepenuhnya di bawah syarat geografi yang kita warisi dan mula hidup di bawah syarat yang kita tulis sendiri. Selat boleh tertutup dalam satu malam. Landasan tidak semudah itu. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-69.
* Datuk Yahaya Abdullah adalah Felo Akademi Kenegaraan Malaysia, pakar komunikasi strategik dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.