MALAYSIA
Sindiket edar dadah di Lembah Klang tumpas, tiga individu ditahan

Mohamed Usuf bercakap pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini berhubung sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang berjaya ditumpaskan dengan penahanan tiga individu dan merampas 145.68 kg syabu bernilai RM4.66 juta. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang dengan penahanan tiga individu dan merampas 145.68 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.66 juta dalam operasi pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata ketiga-tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 32 hingga 61 tahun ditahan di sebuah pusat beli-belah di Jalan Kuchai Lama di sini pada 5.40 petang.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap kereta milik suspek rakyat tempatan berjaya menemukan 10.34kg syabu yang disembunyikan dalam beg kain di bahagian but kereta.
"Siasatan lanjut membawa kepada serbuan susulan di sebuah rumah teres dua tingkat di Puncak Jalil yang berjaya merampas tambahan 135.34 kg syabu dalam 122 bungkusan plastik."Jumlah keseluruhan dadah dirampas dalam operasi itu adalah 145.68 kg dipercayai boleh digunakan oleh 728,400 penagih manakala nilai pasaran dianggarkan RM4.66 juta," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohamed Usuf berkata siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan rumah teres dua tingkat di Puncak Jalil yang disewa sejak Okt lepas pada kadar RM2,000 sebulan sebagai lokasi penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan Indonesia.
Beliau berkata sindiket terbabit dipercayai mula bergiat aktif sejak Mei lepas dan mendapat bekalan dadah dari luar negara manakala dua suspek warga tempatan yang ditahan disyaki berperanan sebagai ketua sindiket serta penghantar.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan jaringan sindiket ini termasuk peranan lelaki Indonesia yang ditahan," katanya.
Mohamed Usuf berkata ujian saringan awal mendapati dua daripada suspek positif dadah manakala semakan rekod lampau menunjukkan seorang daripadanya dikehendaki polis berhubung kesalahan dadah sebelum ini.
"Ketiga-tiga suspek kini direman antara enam hingga tujuh hari bermula 25 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami