MALAYSIA
Sindiket jual vape berisi dadah terbesar tumpas, 12 ditahan

Hussein Omar Khan berkata, serbuan tersebut turut membawa kepada rampasan cecair vape yang dicampur dengan dadah, dianggarkan bernilai RM5.1 juta, menjadikannya rampasan terbesar setakat ini. - Foto: Firdaus Mohari
SHAH ALAM: Berselindung di sebalik perniagaan kedai vape, sindiket penjualan dadah yang dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu akhirnya tumpas selepas premis berkenaan diserbu polis minggu ini.
Dalam serbuan itu, seramai 12 individu termasuk empat wanita warga asing berusia antara 21 hingga 38 tahun ditahan pihak berkuasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan tersebut turut membawa kepada rampasan cecair vape yang dicampur dengan dadah, dianggarkan bernilai RM5.1 juta, menjadikannya rampasan terbesar setakat ini.
Katanya, serbuan pertama kira-kira 8 malam, Selasa lalu di premis menjual rokok elektronik di kawasan Klang Utara, polis merampas 663 kartrij berisi cecair rokok elektronik yang disyaki mengandungi dadah Methamphetamine dengan anggaran isipadu 1,260 mililiter (ml)."Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun iaitu jurujual ditahan untuk siasatan lanjut. Hasil semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod kesalahan, manakala ujian saringan awal air kencing juga negatif.
"Nilai rampasan cecair rokok elektronik berkenaan dianggarkan berjumlah RM199,000 dan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, pada Jumaat.



Penahanan lelaki itu kata Hussein, membawa kepada satu lagi serbuan kemudian dijalankan terhadap kilang yang dijadikan tempat pembungkusan cecair rokok elektronik di sekitar Sungai Buloh pada 12.30 tengah malam keesokkan harinya.
"Di sini kita tahan seorang lelaki tempatan dan 10 warga asing termasuk empat wanita berusia 21 hingga 38 tahun ditahan.
"Kita turut dirampas 4,600 pod dan sejumlah 158 tong plastik berisi cecair rokok elektronik disyaki mengandungi dadah jenis Amphetamine (864,600ml) dan ketamin (650,000ml).
"Semakan mendapati lelaki tempatan berperanan sebagai pengurus perniagaan, manakala warga asing bertindak sebagai pembungkus cecair rokok elektronik.
"Kesemua mereka tiada rekod kesalahan lampau dan nilai rampasan cecair rokok elektronik bagi serbuan kedua adalah RM4.91 juta, dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan negara jiran," ujarnya.
Dalam pada itu Hussein berkata, pihaknya mendapati premis menjual rokok elektronik berkenaan sudah beroperasi sejak empat tahun lalu.
Selain produk vape mengandungi dadah, polis juga merampas dan menyita wang tunai RM1,000 dan sebuah kereta jenis Mazda C5 bernilai RM40,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya Perlucutan Hak Harta 1988.
Katanya lagi, kesemua suspek ditahan reman lima hingga tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya juga sedang menyiasat jika kes itu ada kaitan dengan kegiatan sindiket yang membabitkan warga Taiwan yang ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, baru-baru ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami