KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menahan 12 individu disyaki terlibat dalam sindiket klon kenderaan mewah yang aktif di beberapa negeri dalam operasi yang dijalankan pada Khamis hingga Ahad lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata Op Lejang Mewah Klon itu dijalankan selepas polis bertindak hasil risikan selama lima bulan dengan kerjasama kontinjen di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor.
Advertisement
“Kesemua ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 60 tahun termasuk seorang lelaki yang dikehendaki pihak berkuasa Singapura kerana mencuri kereta.
“Suspek telah diserahkan kepada pihak berkuasa negara jiran pada 16 Mac,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata tangkapan lain terdiri daripada pembeli, pemilik syarikat menjual kenderaan terpakai serta orang tengah telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Kumar berkata dalam operasi terbabit, polis merampas 12 kenderaan pelbagai jenama dianggar bernilai RM1.1 juta dengan lapan daripadanya dikenal pasti sebagai kenderaan klon manakala empat lagi dilaporkan dicuri dari Singapura.
Beliau berkata siasatan mendapati kenderaan klon itu diubah suai nombor casis dan enjin bagi menyamai identiti kenderaan lain, selain dilengkapi Sijil Pemilikan Kenderaan dan cukai jalan yang sah.
Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan identiti kenderaan yang telah diisytiharkan sebagai 'total loss' atau musnah sepenuhnya dan 'beyond economic repair' atau tidak berhemat dibaiki sebelum memanipulasi data pendaftaran bagi mewujudkan identiti baharu.
“Kenderaan itu dijual pada harga antara 50 hingga 60 peratus lebih murah daripada harga pasaran bagi menarik perhatian pembeli selain tidak diiklankan secara terbuka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar membuat pemeriksaan teliti sebelum membeli kenderaan terutamanya kenderaan mewah yang ditawarkan pada harga murah berbanding harga pasaran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan polis kini giat mengesan dalang serta individu lain yang terlibat dalam sindiket berkenaan.
-- BERNAMA