KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 15 lagi penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara.

Dengan tangkapan terbaharu itu, ia menjadikan keseluruhan 26 individu termasuk 20 penjawat awam ditahan setakat ini berhubung sindiket terbabit.

Tangkapan dilakukan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM susulan Op Samba 2.0 yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak Isnin minggu lalu.

Sumber memberitahu, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan antara 30-an dan 50-an ditahan kira-kira pukul 2 petang Selasa di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki terlibat dalam perbuatan tersebut di antara 2017 dan 2023.

“Kesemua suspek yang ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain,” katanya.

Susulan tangkapan ini, AML SPRM merampas barangan seperti telefon bimbit dan turut membekukan akaun bank kesemua suspek.

Sebelum ini, AML SPRM telah berjaya menangkap dan menahan reman 11 individu termasuk lima orang penjawat awam.

Modus operandi sindiket ini termasuk menggunakan khidmat "forwarding agent" sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa untuk melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Sindiket ini juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan 15 suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.