MELAKA: Keghairahan sesetengah individu mengambil jalan pintas untuk memperoleh gelaran Datuk Seri dan Datuk sehingga sanggup membelinya dengan harga RM50,000 hingga RM100,000, terbongkar.

Ia selepas 34 individu termasuk dua dalang berusia antara 26 hingga 70 tahun dicekup Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka di sekitar negeri itu, Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kejayaan menumpaskan sindiket itu bermula daripada maklumat orang awam mengenai sindiket berkenaan pada Januari tahun ini sebelum pihak polis melancarkan operasi khas.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam isu sindiket pemalsuan watikah dan pingat darjah kebesaran tersebut.

Jelasnya, kegiatan itu sememangnya menjejaskan imej pentadbiran kerajaan negeri kerana setiap pelantikan perlu dibuat mengikut lunas undang-undang dan dikurniakan sendiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

“Operasi khas yang dilancarkan telah membawa kepada penangkapan seramai 34 warganegara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa berumur dalam lingkungan 26 hingga 70 tahun.

“Tangkapan dibuat pihak polis ini terdiri daripada mereka yang menjadi dalang utama, orang tengah dan pembeli yg membeli watikah palsu darjah kebesaran negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Seri Negeri yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Mengulas lanjut ujarnya, siasatan awal mendapati sindiket itu didalangi dua lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai mencetak watikah palsu darjah kebesaran negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri berkenaan.

Dua suspek itu turut mencetak tauliah palsu Jaksa Pendamai (JP) serta membeli selempang dan Bintang Darjah Kebesaran Negeri Melaka daripada pembekal yang tidak sah.

Katanya, dalam serbuan di sebuah rumah di daerah Melaka Tengah, pihak polis merampas pelbagai barangan dan dokumen palsu termasuk 16 Watikah Darjah Kebesaran Negeri dan Watikah Jaksa Pendamai Negeri, 13 selempang dan 21 Pingat Darjah Kebesaran Negeri.

Turut ditemukan dua kad keahlian Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka (MDDNM) palsu, dua kad keahlian Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka (MJPNM) palsu selain 168 set emblem kereta Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka (MJPNM).

Katanya, pihak polis turut membuka empat kertas siasatan mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dua dalang utama berkenaan akan didakwa mengikut seksyen (3)(1)(a) dan seksyen 3(1)(b) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama (mencegah penggunaan yang tidak betul) Enakmen A21 Negeri Melaka di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok.

Dua suspek itu turut akan didakwa mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana didapati memperdaya dan menipu dalam urusan jual beli watikah dan pingat darjah kebesaran negeri Melaka.