ALOR SETAR: Polis menahan 19 individu termasuk warga China yang disyaki menjalankan kegiatan mempromosi perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan mata wang Kripto Bitcoin selepas menyerbu tiga buah rumah di sini, pada Rabu.

Serbuan dilakukan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dalam Op Dadu Calling Centre kira-kira pukul 3.40 petang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga premis terbabit dipercayai menjadi "calling centre" perjudian dalam talian yang mampu mengaut keuntungan antara RM300,000 hingga RM500,000 sebulan.

"Dalam serbuan pertama pukul 3.40 petang di sebuah rumah, pegawai dan anggota dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah menahan dua lelaki dan seorang wanita warga China, dua lelaki dan wanita tempatan berusia antara 22 hingga 68 tahun yang berada dalam rumah berkenaan.

"Turut dirampas, sebuah unit komputer riba, 25 buah telefon bimbit, seunit router dan sebuah kereta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Manakala, dalam serbuan kedua pula, pihaknya menahan dua lelaki warga China, lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20 hingga 43 tahun.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, seorang lelaki yang ditahan itu masih dikehendaki polis berkaitan kes jenayah perjudian di daerah ini.

"Antara barang rampasan yang dilakukan adalah sembilan unit komputer riba pelbagai jenama, lima unit router, 161 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan dua buah kereta.

"Dalam serbuan ketiga pula, polis menahan dua lelaki warga China dan dua lelaki serta seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

"Kita turut merampas sebuah unit komputer riba, dua unit tablet dan sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenama," katanya.

Kamarul Zaman berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ini mengaku melakukan aktiviti mempromosi perjudian dalam talian dan juga melakukan penipuan pelaburan wang Kripto (Bitcoin).

Beliau berkata, sindiket ini akan mewujudkan "WhatsApp kumpulan" dengan pelanggan yang disasarkan untuk membuat promosi perjudian dalam talian dan juga pelaburan mata wang kripto.

"Seterusnya sindiket akan berinteraksi dengan pelanggan yang berminat untuk melabur sebelum menipu pelanggan terbabit laman sesawang yang digunakan adalah ‘Bittbay88.com'.

"Sindiket mensasarkan mangsa dari negara Kanada dan negara Asia dan risikan mendapati sindiket ini mula beroperasi sejak Mac 2021," katanya.




Kamarul Zaman berkata, sindiket ini mampu mengaut keuntungan antara RM300,000 hingga RM500,000 sebulan untuk setiap rumah yang beroperasi.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana hukuman boleh dikenakan tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 dan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.

"Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963  yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan enam sebatan.

"Selain itu, siasatan dilakukan  mengikut Peraturan 10 Peraturan-Perayuran Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) 2021 kompaun terhadap kesalahan berhimpun di dalam premis boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Kamarul Zaman berkata, jumlah tangkapan keseluruhan adalah seramai 19 orang yang terdiri daripada lapan lelaki tempatan, empat wanita tempatan, enam lelaki dan seorang wanita warga China.

Beliau berkata, kesemua tangkapan direman untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar selama tiga hari bermula Khamis sehingga Sabtu ini.