Skip to main content

Hiburan

Malam ini Atilia mahu lakar sejarah baharu dalam perjalanan seni

[TB]_Penyanyi Atilia_OPR Network
Atilia mahu melakar sejarah baharu dalam perjalanan karier seninya menerusi Atilia Haron In Concert yang berlangsung di Robert's Theatre, The Campus Ampang, malam ini.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penghibur terkenal, Raja Putri Atilia Raja Haron mahu melakar sejarah baharu dalam perjalanan karier seninya menerusi Atilia Haron In Concert yang berlangsung di Robert's Theatre, The Campus Ampang, malam ini.

Konsert eksklusif itu bukan sekadar menjadi medan buat Atilia mengimbau perjalanan hampir tiga dekad dalam industri muzik tanah air, malah membuka lembaran baharu apabila beliau kini berhasrat memperluaskan pengaruh muziknya kepada khalayak yang lebih luas.

Menurut Atilia, 52, persembahan yang menampilkan sebanyak 29 lagu itu akan membawa penonton menelusuri perjalanan seninya sejak memulakan karier pada 1996.

"Saya harap peminat akan sukakan muzik saya. Muzik saya datang dari hati.

"Sejak 1996, inilah perjalanan muzik saya dan melalui konsert ini saya mahu penonton mengenali saya dengan lebih mendalam sebagai seorang artis," katanya kepada Astro AWANI.

Atilia berkata, masih banyak karya nyanyiannya yang belum benar-benar dikenali masyarakat walaupun telah dihasilkan sepanjang pembabitannya dalam industri hiburan.

"Banyak lagu saya yang ramai tidak tahu. Jadi ini adalah peluang untuk peminat melihat keseluruhan perjalanan muzik saya dan memahami siapa Atilia Haron sebenarnya.

"Konsert ini bukan sekadar persembahan lagu demi lagu, tetapi sebuah perjalanan yang menceritakan pengalaman dan evolusi muzik saya sejak hampir 30 tahun lalu," katanya.

Anak kepada penyanyi legenda Salamiah Hassan itu berkata, pemilihan 29 lagu untuk persembahan malam ini dibuat bagi memperlihatkan perkembangan muzik yang dilaluinya dari awal kerjaya sehingga ke hari ini.

Dalam masa sama, konsert berkenaan turut menjadi pentas penting sebelum beliau melancarkan album solo keempat yang dijangka menemui peminat sekitar Oktober depan.

"Insya-Allah selepas konsert ini saya akan melancarkan album solo keempat sekitar Oktober," katanya.

Ditanya mengenai hala tuju seninya selepas ini, Atilia mengakui, beliau mahu membawa muziknya lebih dekat kepada pendengar arus perdana tanpa mengorbankan identiti yang dibina selama ini.

"Saya memang mahu muzik saya diterima lebih ramai orang. Saya mahu bergerak lebih dekat dengan arus perdana kerana saya percaya muzik yang saya hasilkan juga boleh dinikmati khalayak yang lebih luas.

"Tetapi saya masih Atilia yang sama. Saya tidak mengubah siapa diri saya sebagai seorang artis. Cuma kali ini mungkin ada lagu-lagu yang lebih dekat dengan cita rasa pendengar arus perdana," katanya.

Beliau berkata, selama ini ramai melihat dirinya berada dalam satu segmen pendengar tertentu, namun percaya karya-karyanya mempunyai potensi untuk menjangkau kelompok audiens yang lebih besar.

"Saya rasa sekarang masa yang sesuai untuk lebih ramai orang mengenali muzik saya. Selama ini mungkin ramai melihat saya dalam satu segmen sahaja, tetapi saya percaya muzik saya mempunyai ruang untuk diterima oleh lebih ramai pendengar," katanya.

Dengan gabungan lagu-lagu lama dan baharu yang membentuk perjalanan seninya sejak 1996, Atilia Haron In Concert dijangka menjadi lebih daripada sekadar sebuah persembahan muzik.

Sebaliknya, ia merupakan titik permulaan kepada fasa baharu dalam karier Atilia yang mahu terus berkembang, memperkenalkan karya-karya baharu dan membawa muziknya kepada khalayak yang lebih luas pada masa hadapan.

 

Must Watch Video

Advertisement