ROM: Orang ramai di sebuah bandar di Itali cemas seketika apabila seekor singa dilihat berkeliaran selama beberapa jam selepas terlepas daripada sarkas.

Bagaimanapun, tiada insiden tidak diingini berlaku apabila singa tersebut dibius dan ditangkap.

Insiden itu berlaku di bandar Ladispoli, tidak jauh dari Rom baru-baru ini.

Datuk Bandar Alessandro Grando mengesahkan haiwan tersebut telah ditangkap menerusi catatan di Facebook yang dimuat naik sekitar jam 10.30 malam (waktu tempatan), lebih lima jam sejak amaran dikeluarkan meminta orang ramai tidak meninggalkan rumah mereka.

Video dirakam penduduk tempatan memaparkan singa tersebut berkeliaran di atas jalan raya yang gelap dan sunyi.

Insiden itu sekali gus mengundang kritikan terhadap Grando, penganjur sarkas dan pihak berkuasa tempatan kerana kecuaian tersebut mampu bertukar tragedi kepada pejalan kaki dan pengguna jalan raya.

Grando menegaskan bahawa beliau tidak membenarkan kehadiran sarkas dengan singa di bandar tersebut namun tidak mempunyai kuasa untuk menghalangnya. - Sinar Harian memetik agensi