Dua kes jangkitan virus Zika secara tempatan disahkan berlaku di Kensington Park Drive hari ini.

Menurut laman sesawang Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA), kedua-dua kes itu melibatkan penduduk kawasan berkenaan.

"Kluster baharu ini dimaklumkan hari ini dan NEA telah memulakan operasi kawalan vektor di kawasan kluster berkenaan," kata agensi itu.

NEA berkata pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan pencegahan di kawasan terbabit sebelum kluster di Kensington Park Drive diumumkan bagi mengesan dan memusnahkan sebarang potensi habitat pembiakan nyamuk.

Kata NEA, kebanyakan mereka yang dijangkiti virus Zika tidak menunjukkan simptom dan ini meningkatkan risiko kemunculan semula Zika kerana ia akan mengambil sedikit masa sebelum kemunculan semula virus penyakit itu dapat dikesan.

Kluster Zika pertama di Simon Place berhampiran Kovan, di Hougang adalah kes pertama yang dilaporkan di Singapura tahun ini iaitu pada 29 Mac.

Selepas itu, muncul pula laporan di kawasan Flower Road dan Hendry Close pada 6 April , diikuti di Poh Huat Terrace dan kawasan Terrasse Lane pada 11 April, Glasgow Road (20 April), Highland Road dan Jansen Close (25 April) dan Parry Avenue di kawasan Serangoon Garden (9 Jun).

-- BERNAMA