SIPITANG: Kedudukan Sipitang yang menjadi laluan ke Sarawak dan Brunei berpotensi untuk pembangunan ekonomi, sekali gus menjana pendapatan penduduk setempat.

Segelintir penduduk berpandangan, bakal wakil rakyat yang diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu merangka dasar yang jelas untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Bagi peniaga, Ibrahim Tuah, 43 tahun, dia melihat kawasan Sipitang turut berpotensi untuk menjadi lokasi pelancongan kerana keindahan alam sekitar yang dimiliki di kawasan yang terletak di Selatan Sabah dan bersempadan dengan Lawas.

"Sipitang ini sebenarnya, ia bersempadan dengan Sarawak, Brunei, Tenom dan Keningau.

"Sebenarnya, Sipitang ini berpotensi untuk dikembangkan industri pelancongan, banyak tempat yang menarik seperti pantainya dan juga kawasan bukit bukau di sana.

"Jadi, harap suatu masa nanti selepas PRU ada (wakil rakyat) yang berkhidmat di sini, mereka nampak industri pelancongan harus dimajukan dan secara tidak rasmi menarik lebih ramai lagi para pengunjung ke daerah Sipitang," katanya kepada Astro AWANI, di sini.

.

Ibrahim, yang juga jurulatih futsal menambah, pemimpin yang dipilih kelak perlu mengutamakan peluang pekerjaan kepada golongan belia dan pembangunan infastruktur seperti air dan jalan raya, yang disifatkan masih memerlukan penambah baikan.

Katanya lagi, terdapat juga golongan belia di kawasan seluas 2,732 kilometer persegi itu berbakat dalam bidang sukan, dan mewakili negeri.

"Contohnya di daerah Sipitang ini kita masih kekurangan perkara asas dalam sukan seperti gelanggang futsal, padang bola sepak dan sebagainya," ujarnya.

Sependapat dengan Ibrahim, suri rumah, Norhaniza Faisol@Raisah, 28 tahun, berkata golongan wanita perlu diberi peluang sama untuk berkecimpung dalam bidang sukan.

"Sebagai seorang yang aktif dalam sukan,  kalau boleh saya nak calon yang boleh menyokong (aktiviti sukan) sebab sebagai perempuan jarang dipandang (diberi peluang).

"Jadi kalau boleh angkat kami dan turun tengok pemain-pemain dan kebajikan sukan," katanya, yang mahukan calon muka baharu pada PRU15 ini.

Selain itu, pekerja swasta, Dayang Rosmawatye Salleh, 30 tahun, berpandangan peluang pekerjaan dan kemudahan kepada peniaga kecil perlu diperluaskan di kawasan tersebut.


Mengenai ciri calon pula, dia mahukan pemimpin yang diberikan mandat nanti ialah seorang yang berjiwa rakyat dan berpengetahuan luas.

"Bagi saya secara peribadi, calon itu mestilah mempunyai pengetahuan yang tinggi, dan selalu turun padang.

"Selain itu,  calpon itu boleh beri pendedahan kepada rakyat berkenaan politik dalam negara sebab keadaan pooltik kita sekarang ini tidak stabil," katanya.

Pada PRU14, Parlimen Sipitang dimenangi oleh Datuk Yamani Hafez Musa atas tiket Barisan Nasional (BN).

Setakat ini, Warisan mengesahkan peguam, Datuk Adnan Puteh akan mewakili parti itu bagi memberi tentangan merebut kerusi Parlimen Sipitang.