KUALA LUMPUR: Bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar boleh mengemukakan permohonan semakan di mahkamah menerusi peguam berkaitan sabitan hukuman mati ke atasnya bagi kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, proses ekstradisi boleh dilakukan sekiranya sabitan hukuman mati berubah kepada hukuman lain seperti penjara sepanjang hayat.

Beliau berkata, langkah itu boleh dipertimbang ekoran hukuman mati mandatori boleh diubah dengan budi bicara mahkamah dan hakim seiring peraturan baharu yang diperkenalkan kerajaan.

"Oleh kerana status Sirul Azhar sudah dijatuhkan hukuman, persoalan seterusnya ialah apakah beliau melalui peguam boleh memohon agar hukuman ke atasnya itu dapat dikemukakan (semakan).

"Sekarang ada 1,267 pesalah yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah dan kira-kira 900 lebih sudah kemuka semakan semula. Sebab sabitan tak berubah, daripada hukuman mati kepada hukuman penjara sepanjang hayat.

"Apakah Sirul Azhar mempunyai hak menerusi peguamnya? Dia boleh saja mengemukakan (permohonan) untuk ruang (semakan) ini. Kalau itu sudah dibuat, baru boleh proses ekstradisi atau umpama rayuannya berakhir dengan ada perubahan dari segi hukuman, sementara sabitan tidak berubah tetapi hukuman berubah," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Selasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilapor Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk Pejabat Peguam Negara dan mahkamah bagi memutuskan tindakan membawa pulang Sirul Azhar.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, wujud kekangan tertentu untuk melaksanakan proses tersebut memandangkan Australia tidak mengiktiraf serta tidak mengenakan hukuman mati dalam undang-undang negara itu walaupun Malaysia dan Australia mempunyai perjanjian ekstradisi.

"Memang ada perjanjian ekstradisi antara Malaysia dengan Australia. Di Malaysia, status Sirul Azhar seperti yang kita maklum, dia sudah dijatuhi hukuman mati manakala Australia sebuah negara yang tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati terhadap pesalah jenayah.

“Antara syarat ekstradisi, ada banyak boleh dilaksanakan di mana kesalahan terbabit mesti ada elemen 'dual criminality', iaitu kesalahan mesti menjadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang turut membawa hukuman sama. Jadi walaupun kita ada perjanjian ekstradisi, ia ada satu perbezaan.

“Kita juga ada banyak perjanjian 'Mutual Legal Agreement' (MLA), termasuk dengan Australia (iaitu) 'Mutual Assistance in Criminal Matters Act 2002'. Namun prinsip 'dual criminality' masih terpakai," jelasnya.

Sementara itu ditanya sama ada kerajaan menerima permohonan semakan daripada Sirul Azhar, beliau memaklumkan pihaknya tidak mempunyai maklumat berkenaan.