KUALA LUMPUR: Sistem kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan bukan berniat untuk meminggir atau mendiskriminasi mana-mana kumpulan masyarakat sebaliknya merupakan usaha bagi memastikan semua golongan yang memerlukan mendapat peluang sewajarnya.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Dr Anuar Ahmad berkata pelaksanaan sistem itu juga adalah selari dengan hasrat dan semangat Perlembagaan yang telah digubal sejak negara mencapai Kemerdekaan.

"Kita tahu dalam Perlembagaan sudah berikan keistimewaan itu (sistem kuota) selaras dengan matlamat dan kontrak sosial yang telah kita bina sejak Merdeka, jadi saya fikir pengekalan sistem kuota ini adalah wajar.

"Pelaksanaan sistem kuota ini sebenarnya tidak menyebabkan masyarakat atau pelajar bukan Melayu kehilangan peluang kerana kita tahu bilangan pelajar Bumiputera itu jauh lebih ramai dan perlukan lebih banyak tempat di universiti," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa sistem kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata sekiranya sistem itu tidak dikekalkan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan atau 'tempang' jumlah pelajar Melayu di IPT termasuk dalam jurusan tertentu.

Mengulas lanjut, Anuar berkata dalam usaha membina sebuah negara dengan jurang pendapatan, ekonomi dan peluang pekerjaan yang seimbang serta adil kepada semua, kerajaan perlu memastikan kumpulan yang memerlukan bantuan dan sokongan dipertahan.

"Saya setuju dan sambut baik ketegasan Perdana Menteri ini... pada saya, itu adalah satu penegasan atau kenyataan yang berupa satu usaha untuk mempertahan semangat kenegaraan yang telah kita bina sejak awal negara merdeka.

"Pada saya, selama hampir 66 tahun merdeka, tidak pernah kita meminggirkan mana-mana pihak tetapi pada masa sama, kita tidak mahu masyarakat Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak ketinggalan dalam kehidupan atau peluang untuk masuk ke universiti," katanya.

Senada dengan beliau, Felow Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata terdapat keperluan mengekalkan sistem kuota Melayu dan Bumiputera.

Beliau berkata perkara itu perlu dilihat secara spesifik mengikut keperluan dan bidang yang kritikal memandangkan ia dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pada masa yang sama, keperluan untuk perkara itu dibuat secara merit juga harus dilihat secara meluas bagi memastikan persaingan sihat dalam melahirkan modal insan berkualiti perlu ditekankan," katanya.

-- BERNAMA