Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu sistem pengurusan hilang upaya di negara ini ditingkatkan melalui penyelarasan antara semua agensi terlibat.

Jelasnya, usaha itu penting selain melaksanakan jaringan keselamatan yang komprehensif dan meluas.

"Satu langkah yang terbaik untuk dimulakan ialah dengan menyelaras semua kemudahan untuk orang kurang upaya di negara ini. Mungkin, satu rangkaian perkhidmatan yang menghubungkan semua kemudahan adalah diperlukan," katanya semasa berucap merasmikan Forum Pengurusan Hilang Upaya Antarabangsa (IFDM) 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil kejayaan inisiatif berkenaan juga akan menjadi contoh kepada negara lain terutama Indonesia, Singapura, dan negara-negara Afrika.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diberi tanggungjawab melakukan inisiatif berkenaan dengan melibatkan kerjasama agensi dan kementerian.

"Saya yakin PERKESO akan meneruskan usaha ini dan melihat kepada kejayaan Pusat Kecemerlangan Untuk Pemulihan dan Pencegahan dan melahirkan lebih banyak perkhidmatan pemulihan di negara-negara terlibat seperti yang telah dilakukan di Pusat Pemulihan PERKESO di Melaka," ujarnya.

Dengan kepakaran pertubuhan itu dalam keselamatan sosial dan pekerjaan melibatkan orang kurang upaya, beliau yakin PERKESO sudah bersedia untuk memastikan kejayaan pelaksanaan insurans pekerjaan seperti yang termaktub dalam Standard Organisasi Buruh Antarabangsa.

"Saya mengalu-alukan usaha PERKESO, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk menyahut cabaran utuk menganjurkan Forum Pengurusan Hilangupaya Antarabangsa. Ini adalah platform yang berkesan kepada individu, pekerja, majikan, pakar perubatan, pakar akademik, NGO dan pembuat dasar bekerjasama untuk mencari penyelesaian global bagi pengurusan hilang upaya," ujarnya.