HULU LANGAT:Punca banjir kilat yang menjejaskan kira-kira 570 kediaman di 10 kampung di Hulu Langat pada Rabu didakwa berpunca daripada sistem perparitan yang tidak diselenggara.

Penduduk mendakwa, masalah berkenaan tidak diberi perhatian serius sebelum ini sehingga menyebabkan banjir kilat apabila hujan lebat berlaku lebih daripada empat jam.

Penduduk Kampung Sungai Serai, Yusliza Tupon, 54, berkata sistem perparitan di kawasan itu perlu diselenggara dengan baik untuk mengelak penduduk menjadi mangsa ketika musim hujan.

"Mereka (pihak bertanggungjawab) patut prihatin, tanya masalah kami. Longkang depan rumah saya macam tiada fungsi, penuh dengan tanah. Air hujan terus masuk kawasan rumah kami, itu sebab cepat banjir.

"Sepatutnya bersihkan longkang supaya aliran air lancar dan terus masuk ke sungai," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Barangan kelengkapan rumah yang rosak akibat bah di Hulu Langat. Gambar: Astro AWANI

Tinjauan Astro AWANI di kawasan terjejas pada Khamis mendapati, ramai penduduk masih membersihkan kediaman masing-masing.

Menceritakan kejadian awal pagi Rabu itu, Yusliza berkata, air disedari masuk ke rumahnya kira-kira jam 4.30 pagi.

"Masa banjir itu, hujan lebat beberapa jam. Masa itu, akak nampak air naik, cepat-cepat kejut semua ahli keluarga, kami yang pertama sedar air naik," katanya.

Keadaan di dalam salah sebuah rumah yang dilanda bah di Kampung Sungai Serai. Gambar: Astro AWANI

Ujarnya, hanya beberapa barangan dan dokumen peribadi berjaya diselamatkan dengan barangan elektrik yang lain musnah ditenggelami air.

"Kami harap pihak bertanggungjawab cuba selesaikan masalah ini supaya jangan berlarutan... bukan setiap kali banjir nak bagi bantuan. Cuba selesaikan masalah ini, jangan banjir lagi," katanya.

Rata-rata penduduk membersihkan kediaman mereka yang dilanda bah dipenuhi lumpur. Gambar: Astro AWANI

Selain Kampung Sungai Serai, kawasan lain yang turut terjejas ialah Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 14, Kampung Batu 16, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 18, Kampung Batu 17, Kampung Dusun Nanding, Kampung Baru 13, Kampung Lubuk Kelubi dan Taman Sri Nanding.

Sementara itu, bagi mekanik, Misron Selamat, 53, tragedi berkenaan menjejaskan perniagaannya apabila lebih 20 motosikal pelanggannya tenggelam.

Misron terpaksa membaiki semua motosikalnya yang mengalami kerosakan tambahan akibat banjir. Gambar: Astro AWANI

"Saya terpaksa membaiki kerosakan yang berpunca daripada banjir. Semua kos itu saya terpaksa tanggung sendiri," katanya yang turut mengalami masalah kekurangan pelanggan akibat pandemik COVID-19 sejak awal tahun.

Lebih menyedihkan, dia berkata peralatan di bengkelnya juga rosak akibat banjir kilat itu.