KUALA LUMPUR:Sistem pertahanan negara dan laman web kerajaan berada dalam keadaan selamat daripada serangan penggodam, setakat ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

“Di bawah kementerian, tidak ada (insiden penggodaman) dan kita harap kementerian akan terus selamat daripada digodam,” katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ancaman serangan kumpulan penggodam terhadap beberapa laman web milik kerajaan.

BACA: Anonymous Malaysia dakwa beberapa laman web kerajaan sudah digodam

BACA: Siapa penggodam 'Anonymous Malaysia'? Ini ringkasan Trend Micro Malaysia

Terbaharu, kumpulan yang dikenali sebagai Anonymous Malaysia mendakwa menggodam laman web milik kerajaan negeri Sabah, Perak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Majlis Perbandaran Selayang.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Pada 2015, media melaporkan polis menahan tiga individu dipercayai terbabit memuat naik klip video di laman YouTube bertajuk, We Will Blast Malaysia.

Penahanan itu ekoran video berdurasi 1 minit 28 saat menggunakan nama Anonymous Malaysia yang memaparkan insiden letupan bom di Bangkok, Thailand dan mendakwa akan membuat tindakan sama di negara ini.