KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita kebangsaan S. Sivasangari menetapkan matlamat utama kariernya dengan menyasarkan pingat emas pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Mengakui ramai pemain skuasy berkongsi impian sama, Sivasangari bertekad berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kegemilangan Olimpik dan melakar namanya dalam sejarah sukan Malaysia dengan memenangi emas yang diidamkan negara.

Juara Sukan Asia Hangzhou 2022 itu yakin dengan sokongan daripada pihak berkepentingan utama seperti Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Persatuan Raket Skuasy Malaysia, jurulatih dan penajanya Kumpulan CIMB (CIMB), beliau akan menerima motivasi untuk cemerlang pada temasya sukan terbesar di dunia itu.

"Kita perlu sentiasa memiliki keyakinan dalam diri. Saya rasa, jika saya tidak menetapkan matlamat itu, akan timbul persoalan mengapa saya melakukan perkara ini.

"Saya ada empat tahun lagi, saya akan bekerja sekuat yang boleh, perbaiki kelemahan saya dan menjadi lebih baik," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani kerjasama dengan CIMB sebagai duta sukan di sini pada Khamis.

Majlis menandatangani kerjasama itu disaksikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Dalam pada itu, Sivasangari yang baru sahaja kembali ke kedudukan 15 teratas ranking dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) berharap dapat menembusi tangga 10 terbaik menjelang Jun ini.

Pemain berusia 25 tahun itu hampir bangkit selepas memberikan tentangan sengit sebelum tewas kepada pemain keenam terbaik dunia dari England Georgina Kennedy 11-13, 8-11, 14-12, 11-6, 9-11, pada separuh akhir kejohanan Cleveland 2024 di Amerika Syarikat minggu lepas.

"Sememangnya sukar untuk menerima kekalahan dalam perlawanan sengit, tetapi saya semakin hampir. Saya telah bermain dengan 10 pemain terbaik dunia dan saya harap dapat mencapai kejayaan tidak lama lagi. Apabila ia berlaku, saya yakin akan menjadi lebih baik," katanya.

Mengenai proses kelayakan Olimpik 2028, Sivasangari berkata beliau masih belum mendapat sebarang maklumat daripada Persekutuan Skuasy Dunia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengguna dan Perbankan Digital Kumpulan CIMB Effendy Shahul Hamid menzahirkan kegembiraan setelah pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu bersetuju bekerjasama dengan pihaknya dan menyertai barisan bakat sukan termasuk jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pemain golf Ervin Chang.

"Beliau mempunyai minda dan kecekalan seorang juara dan saya mengharapkan beliau menjadi sumber kebanggaan kepada negara," katanya.

-- BERNAMA