KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dijadikan pusat vaksinasi COVID-19 di daerah Petaling Jaya, selepas beberapa hospital swasta turut dipilih menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC Trish Hogan dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya mempunyai petugas vaksinasi terlatih untuk menguruskan pemberian vaksin kepada petugas kesihatan di Selangor yang bermula esok.

Trish berkata adalah penting inisiatif kerjasama awam-swasta ini digunakan sepenuhnya untuk memastikan program vaksinasi negara berjalan lancar.

"SJMC komited dengan peranan kami dalam menyokong usaha kerajaan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok di Malaysia yang akan memberi kesan meluas dan positif bagi kita semua," katanya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata hospital swasta telah digunakan sebagai pusat vaksinasi bagi petugas kesihatan swasta untuk Fasa 1 Pogram Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Katanya, kerajaan akan memasukkan lebih banyak hospital swasta bagi Fasa 2 dan 3 seperti yang diumumkan sebelum ini.

-- BERNAMA