MALAYSIA
Skandal Felda: Tajuddin minta Azmin jangan ungkit kisah lama

TAJUDDIN: Buat apa dibangkit soal itu lagi, buat yang terbaik sekarang. -Foto Sinar Harian
Tindakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengaitkan kerajaan terdahulu dengan masalah pengurusan Felda mendapat teguran Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak).
Menurut Tajuddin, tiada guna membangkitkan perkara lama sebaliknya kerajaan baharu perlu memikirkan cara mentadbir yang lebih baik.
"Yang itu sudahlah, saya ingin sesi ini kita jangan berbahas macam itu lagi. Malulah sikit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal perdana menteri.
"Buat apa dibangkit soal itu lagi, buat yang terbaik sekarang. Good luck," katanya.
Susulan itu, Mohamed Azmin mengiyakan kenyataan Tajuddin dan menambah bahawa Felda berdepan masalah kerana mewarisi pentadbiran Umno-BN yang melakukan penyelewengan.
"Saya nyatakan tadi kerajaan PH telah mengambil ketetapan untuk meletakkan pengurusan baharu Felda mulai Julai 2018. Masalah dihadapi kita ialah legasi pentadbiran UMNO dan BN yang curang dengan melakukan rasuah dan penyelewengan,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin bersetuju dengan cadangan Tajuddin agar pengurusan Felda yang tidak cekap dipecat.
“Saya menyokong kenyataan Pasir Salak bahawa pengurusan yang tidak cekap harus dipecat dan dibuang dan itu kita lakukan. Tetapi itu nak jadi calon di Port Dickson yang disokong ahli UMNO dan UMNO Bahagian.
"Jadi saya harap YB Pasir Salak silalah memberi kuliah kepada mereka,” katanya.
Walaupun tidak menyebut nama, Mohamed Azmin dipercayai merujuk kepada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Port Dickson.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami