KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Kabinet supaya mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan menegaskan, skandal yang melibatkan kerugian sebanyak RM9 bilion itu bukan sahaja merencatkan keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), malah ia turut menjejaskan imej kerajaan.

“Walaupun pemerintahan kleptokrasi Barisan Nasional telah berakhir pada PRU14 yang lalu, namun sehingga hari ini kita masih dihantui oleh peninggalan kebobrokan pemerintahan mereka.

“Yang terbaharu ialah skandal pembinaan kapal LCS TLDM yang melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 bilion, selain merencatkan keupayaan TLDM untuk mengawal perairan negara disebabkan kegagalan syarikat yang dianugerah kontrak pembinaan kapal LCS secara rundingan terus untuk menyiapkan projek tersebut.

“Inilah pemimpin BN yang akan mengetuai parti itu dalam PRU15. Jika inilah hakikatnya, adakah rakyat Malaysia akan mempercayai mantra yang akan dibawa oleh BN dalam PRU akan datang?” ujarnya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.


Tambahnya, pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan.

“Bantahan ini walau bagaimanapun tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan. Untuk rekod Menteri Pertahanan pada ketika itu ialah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada masa ini,” jelasnya lagi.

BACA: Kapal pertama LCS dijangka siap dalam tempoh setahun dua - Hishammuddin 

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh pada minggu lepas berkata, Boustead Naval Shipyard (BNS) tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek tersebut.

Pembelian enam kapal LCS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membabitkan kontrak bernilai RM9 bilion telah bermula sejak 2011.

Bagaimanapun, kapal berkenaan tidak disiapkan sehingga kini walaupun kerajaan telah membayar sebanyak RM6 bilion.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan, kapal LCS diharap mampu disiapkan dalam tempoh antara setahun hingga dua tahun lagi.

Sewaktu menjawab soalan di Dewan Negara pada Isnin, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, Kabinet telah memberi tempoh enam bulan untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek tersebut.