Skip to main content

Malaysia

Skandal NexG: MCW mahu Abu Hanifah elak dilihat 'lindungi' salah laku Victor Chin

MCW
Jais menyerahkan memorandum kepada wakil syarikat NexG di pejabat berkenaan di Kuala Lumpur. - Gambar MCW

KUALA LUMPUR: Selepas membuat laporan polis mengenai skandal NexG Berhad, Malaysia Corruption Watch (MCW) menghantar memorandum kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma tersebut, Datuk Abu Hanifah Noordin, agar meneruskan siasatan dalaman ke atas Victor Chin menjadi Ketua Pegawai Operasi (COO).

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, ianya penting bagi mengelakkan Abu Hanifah dan pengurusan semasa syarikat yang bertanggungjawab pembekalan MyKad, MyTentera dan MyPOCA (struktur baharu) untuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu dilihat melindungi dakwaan salah laku.

Advertisement

"Sebagai syarikat yang membekalkan segala macam dokumen penting negara untuk rakyat, NexG harus mengelak daripada berdepan isu integriti dan salah laku dengan menjelaskan kepada umum mengenai skandal membabitkan Victor Chin yang sudah berlarutan sekian lama.

"Bukan sahaja pemegang saham NexG, malah rakyat negara ini juga berhak untuk mendapat maklumat yang benar dan tepat mengenai pelbagai dakwaan salah laku membabitkan Victor Chin kerana duit cukai daripada rakyat disalurkan kepada NexG menerusi kontrak pembekalan tersebut," jelasnya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Penyerahan memorandum tersebut membabitkan dakwaan serius mengenai penyalahgunaan dana syarikat berjumlah RM303.7 juta semasa tempoh Victor Chin Boon Long memegang jawatan COO NexG Bhd sekitar November 2024 hingga September 2025.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, melabel Victor Chin Boon Long sebagai 'syaitan korporat' dalam satu sidang media khas bagi menafikan pembabitannya dalam skandal 'Mafia Korporat'.

Kontroversi ini turut berkisar kepada transaksi saham MMAG Holdings Bhd melibatkan isteri Victor Chin, Chan Swee Ying, yang dilapor melupuskan 9.53 peratus kepentingan (220 juta saham) bernilai RM88.22 juta kepada NexG Bhd.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mengesahkan pihak berkuasa sedang menjejaki Victor Chin susulan dakwaan penglibatannya dalam sindiket pengambilalihan paksa syarikat.

Must Watch Video