Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menubuhkan satu pasukan untuk menyiasat insiden pencerobohan beberapa domain internet yang telah dikompromi.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata SKMM bersama-sama dengan pihak polis akan menyiasat insiden yang berlaku.

“SKMM mengesahkan telah menerima laporan bahawa beberapa nama domain yang didaftarkan di bawah nama domain ‘.com.my’ (dot com dot my) telah dikompromi,” kata Mohamed Sharil melalui kenyataan medianya.

SKMM telah berhubung dengan MYNIC dan melalui siasatan awal telah mendapati bahawa kompromi tersebut hanya terhad kepada laman web yang berdaftar dengan nama domain ‘.com.my’.

Beberapa laman web yang terkenal juga telah terjejas.

Pencerobohan ini menimbulkan kebimbangan tetapi, mujurlah langkah-langkah awal yang pantas telah diambil untuk menangani pencerobohan yang disyaki.

Setakat ini, perkhidmatan kepada sebahagian besar domain-domain yang telah dikompromi itu sudah pun berjalan seperti sediakala,” kata beliau lagi.