Ringkasan AI
- Setakat 26 Oktober, 51.5 peratus kenderaan perdagangan aktif telah memasang peranti pengehad kelajuan (SLD) yang disahkan.
- Pelaksanaan SLD secara berfasa bermula 1 Oktober 2025 untuk kenderaan perdagangan terpilih, dengan had kelajuan maksimum 90 kilometer sejam.
- Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan lebih banyak syarikat mendapatkan kelulusan JPJ untuk pemasangan SLD, khususnya di negeri yang kekurangan bengkel.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 106,651 daripada 207,083 kenderaan perdagangan aktif mempunyai rekod pemasangan peranti pengehad kelajuan (SLD) yang disahkan setakat 26 Okt lepas, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata jumlah itu mewakili 51.5 peratus, manakala bagi kenderaan yang dibuat sebelum 2015 dan memerlukan pemasangan SLD secara retrofit, hanya 34,514 daripada 202,861 kenderaan direkodkan mematuhi keperluan berkenaan, iaitu 17 peratus.
“Masalah besar adalah untuk kenderaan-kenderaan yang perlu retrofit kerana kenderaan itu mungkin tidak sesuai dan OEM (pengeluar peralatan atau komponen asal) pun mungkin tidak dapat menyokong dari segi teknikal.
“Itulah sebabnya kita menangguhkan sedikit masa untuk pematuhan,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkaitan penguatkuasaan pemasangan SLD, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Loke berkata penguatkuasaan SLD akan memberikan keutamaan kepada kenderaan perdagangan yang dibuat selepas 2015 kerana peranti itu telah diwajibkan dalam kelulusan jenis kenderaan (VTA) dan pemilik hanya perlu mengaktifkannya.
Beliau berkata kerangka perundangan berkaitan pemasangan, pengesahan dan penguatkuasaan SLD telah dibuat dan akan diwartakan tidak lama lagi sebelum kementerian mengumumkan strategi serta garis masa pematuhan.
“Fokus kita sekarang untuk penguatkuasaan kenderaan yang lebih baharu, iaitu kenderaan yang dibuat selepas 2015 kerana tidak ada alasan mereka tidak ada SLD. VTA memang sudah ada SLD, cuma perlu aktifkan sahaja.
“Namun begitu, untuk retrofit, kita akan lihat dari segi teknikal kaedah yang dapat dilaksanakan. Hal itu yang dapat saya berikan kepastian kepada pihak Yang Berhormat bahawa tidak ada pembatalan penguatkuasaan SLD ini,” katanya.
Loke berkata setakat 26 Okt, hanya 33 syarikat pembekal SLD retrofit diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara, jumlah yang disifatkannya tidak mencukupi untuk menampung keperluan lebih 200,000 kenderaan.
Beliau berkata kementerian mengalu-alukan lebih banyak syarikat untuk mendapatkan kelulusan JPJ bagi menyediakan perkhidmatan pemasangan SLD, khususnya di negeri yang masih kekurangan bengkel berkenaan.
“Bengkel ini perlu mempunyai rangkaian yang lebih besar supaya pemilik kenderaan di setiap negeri boleh pergi ke bengkel berkenaan di kawasan yang terdekat,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) berhubung kekurangan bengkel mengurus SLD.
Loke berkata pelaksanaan SLD secara berfasa bermula dari 1 Okt 2025 bagi kategori kenderaan perdagangan yang ditetapkan, dengan had kelajuan maksimum 90 kilometer sejam berdasarkan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) No. 89.
Pada 30 Jun lepas, Kementerian Pengangkutan mengumumkan penangguhan penguatkuasaan penuh SLD yang dijadualkan bermula pada 1 Julai 2026 bagi memberikan tempoh peralihan kepada industri untuk melengkapkan proses pematuhan.
-- BERNAMA