Skip to main content

Malaysia

Slogan “Hancur Israel” bergema di Himpunan Hari Al-Quds

Hari Al Quds, perhimpunan, kuala lumpur, Shahir Omar
Himpunan Al-Quds diadakan pada setiap Jumaat terakhir bulan suci Ramadan sebagai tanda solidariti terhadap warga Palestin yang berdepan tekanan dan penindasan Israel. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Cuaca panas tidak menghalang ratusan peserta pro-Palestin berhimpun di Himpunan Hari Al-Quds di ibu kota, hari ini.

Peserta mula berkumpul kira-kira jam 2 petang selepas solat Jumaat di Menara Tabung Haji sambil melaungkan slogan membantah tindakan rejim Zionis Israel.

Advertisement

Himpunan tersebut juga diadakan di tengah-tengah konflik Asia Barat yang melibatkan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari lalu.

Slogan “Hancurkan Israel”, “Hancurkan Amerika” dan “Iran, Iran” antara yang dilaungkan oleh peserta himpunan.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu yang hadir ketika himpunan baru bermula menegaskan, konflik yang berlaku di Palestin merupakan isu sejagat yang menjangkaui agama dan bangsa.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan pendirian menentang tindakan perang, namun ia perlu dilihat dalam konteks terkini ketika berhadapan dengan Israel.

“Kita nasihatkan negara Arab yang bergantung kepada Amerika sekarang ini supaya mengisytiharkan untuk menyertai usaha bersama menentang Israel.

“Sila halau tentera Amerika yang membina pangkalan di negara kamu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di himpunan tersebut.

Peserta himpunan mula berarak menuju ke tapak himpunan berhampiran Kedutaan Besar AS sekitar jam 2.30 petang dengan dikawal oleh pasukan polis.

Untuk rekod, himpunan Al-Quds diadakan pada setiap Jumaat terakhir bulan suci Ramadan sebagai tanda solidariti terhadap warga Palestin yang berdepan tekanan dan penindasan Israel.

 

Must Watch Video