Slogan 'Jom Bantu Rakyat' yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah selari dengan usaha kerajaan mahu membantu rakyat tanpa mengira masa dan keadaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata slogan itu juga membuktikan komitmen kerajaan untuk terus membela nasib rakyat, terutama apabila ditimpa musibah.

"Tidak ada pihak lain yang berhak menggunakan slogan itu melainkan kerajaan BN dan UMNO. Saya tidak perlu huraikan dari mana (bantuan diberikan). Sumbernya pelbagai.

"Ada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia, bantuan baik pulih rumah, bantuan persekolahan, universiti dan pelbagai lagi bantuan yang diberikan.

"Ini sebab kita letakkan rakyat sebagai tanggungjawab kita kerana kita adalah pemimpin yang dipilih mereka. Jadi kena berkhidmat bersungguh-sungguh," katanya semasa berucap selepas solat Isya', Tarawih dan Witir berjemaah bersama penduduk Kampung Serambi di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Ishak Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang Datuk Abu Bakar Harun dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nassarah.

Sementara itu, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan secara berseloroh berharap projek Lampu Jalan Kampung Fasa 8 (LJK8) Negeri Pahang yang turut melibatkan Kampung Serambi, 'mampu menerangi kampung itu sehingga ke pilihan raya'.

"Saya harapkan dengan cahaya lampu ini, Kampung Serambi yang agak suram sebelum ini sudah bercahaya dan semoga terus bercahaya sehingga hari raya sehingga pilihan raya," katanya.

Pelaksanaan projek LKJ8 menerusi Wilayah Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pahang melibatkan pemasangan 7,770 unit lampu jalan di seluruh daerah melibatkan peruntukan sebanyak RM6.62 juta.

Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar yang terletak dalam Parlimen Pekan, sebanyak 28 kampung bakal menikmati kemudahan itu melibatkan pemasangan 242 unit lampu, yang mula dilaksanakan sejak 11 Jun lalu.

Pada majlis itu, Najib juga menyampaikan sumbangan daripada TNB, Roadcare dan Biro Agama UMNO Pekan kepada 171 penerima terdiri daripada warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), mualaf dan anak yatim.

Najib turut meluluskan permintaan penduduk kampung untuk membina sebuah masjid baharu bagi menggantikan masjid As-Sakinah yang telah uzur, dan menambah, peruntukan itu akan dimasukkan sebagai sebahagian bajet tahun hadapan.

-- BERNAMA