SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin dijangka beroperasi tahun hadapan

Fadhlina ditemui media pada majlis Wacana Fikrah Siddiq Fadzil bersempena Muktamar Wadah Negeri Pulau Pinang di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam dijangka beroperasi pada tahun hadapan bagi memperkukuh pendidikan Islam berteraskan dakwah dan keharmonian masyarakat majmuk.
Ringkasan AI
- SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin dijangka beroperasi tahun hadapan di Bukit Mertajam, dengan fokus kepada pendidikan Islam berteraskan dakwah dan keharmonian masyarakat majmuk.
- Sekolah ini menekankan penguasaan pelbagai bahasa seperti Inggeris, Arab, Tamil dan Mandarin, serta pendekatan Islam yang ramah dan inklusif.
- Pembinaan sekolah bernilai RM64 juta merangkumi kemudahan moden termasuk makmal, bengkel RBT, asrama, surau dan kemudahan mesra OKU bagi menyokong pembelajaran holistik.
Beliau berkata antara keunikan sekolah berkenaan ialah penekanan kepada penguasaan pelbagai bahasa selain bahasa Melayu, seperti bahasa Inggeris, Arab, Tamil dan Mandarin bagi melahirkan pelajar yang mampu berdakwah secara berhemah dalam masyarakat berbilang kaum.
Fadhlina berkata usaha itu juga selaras dengan kejayaan pelaksanaan program Tahfiz Model Ulul Albab, dengan SMKA berkenaan akan menampilkan pendekatan pendidikan Islam yang menekankan disiplin ilmu, akhlak dan penguasaan pelbagai bidang.
"Diharapkan pelajar sekolah ini akan menjadi pendakwah yang berakhlak mulia, berilmu serta mampu membawa mesej Islam yang lebih harmoni dan inklusif," katanya.
Beliau berkata pembinaan sekolah itu melibatkan kos sebanyak RM64 juta, merangkumi pelbagai kemudahan moden dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
Sekolah berkenaan bakal dilengkapi blok akademik yang menempatkan bilik darjah, blok pentadbiran, dewan serba guna, sembilan makmal sains, dua makmal komputer, enam bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), surau, kantin, padang serta tiga gelanggang permainan.
Ia turut mempunyai asrama lelaki dan perempuan, rumah warden, dewan makan serta kemudahan lain yang menyokong keperluan pembelajaran holistik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


