SEPANG: Sokongan berterusan daripada masyarakat dan sektor swasta penting dalam membantu bekas klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) meneruskan kehidupan selepas keluar dari pusat pemulihan, sekali gus mengurangkan risiko pengulangan penagihan.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata ketiadaan sokongan selepas mereka keluar, termasuk kesukaran mendapatkan pekerjaan dan stigma masyarakat, boleh menyebabkan bekas klien hilang keyakinan diri serta berputus asa.
Ruslin berkata pendedahan kepada program vokasional ketika berada di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), selain sokongan pihak luar selepas keluar, dapat membantu klien membina keyakinan diri dan meneruskan kehidupan dalam masyarakat.
“Apabila mereka ada kerja dan mereka disokong oleh bukan saja institusi pekerjaan, tetapi juga keluarga dan masyarakat, maka stigma terhadap mereka akan kurang.
"Apabila tidak ada stigma, mereka ada keyakinan diri untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas Program Inspirasi Kehidupan Baharu Tahun 2026 di sini, semalam.
Program itu dijayakan melalui kerjasama AADK dan Boustead Holdings Bhd (Boustead) bersama-sama 90 warga PUSPEN Sepang.
Ruslin berharap lebih banyak pihak tampil membantu memberikan peluang kedua kepada individu yang terlibat dengan penagihan dadah kerana tindakan itu bukan tanggungjawab AADK atau Kementerian Dalam Negeri semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua.
“Klien-klien yang berada dalam PUSPEN ini, mereka akan keluar. Sekiranya kita tidak menyantuni mereka sebelum mereka keluar, mereka akan sesat selepas ini.
“Dengan harapan apabila kita dedahkan mereka dengan dunia luar, khususnya pihak swasta datang untuk bertemu dengan mereka, bersukan dengan mereka, memberikan motivasi kepada mereka, insya-Allah apabila mereka keluar nanti mereka ada satu harapan baharu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata usaha membantu klien AADK meningkatkan kemahiran dapat memastikan tenaga manusia berkemahiran dimanfaatkan sepenuhnya.
“Bagi kami di Boustead dan Royale Chulan, impak yang lebih besar ialah memastikan tenaga kepakaran manusia ini digunakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata kos yang ditanggung kerajaan bagi usaha memulihkan klien adalah besar dan sekiranya mereka dapat kembali menyumbang sebagai tenaga kerja berkemahiran, usaha itu dapat memberikan manfaat kepada negara.
“Setiap tahun kita tahu kos-kos yang digunakan oleh kerajaan amat besar bagi memulihkan semua klien … jadi, kalau kita dapat gunakan sebagai pekerja mahir di Malaysia, insya-Allah aspirasi negara untuk menjadi negara maju dapat dicapai,” katanya.
-- BERNAMA