IPOH: Lebih 2,000 pelajar dan kakitangan Politeknik Ungku Omar (PUO) menyertai Himpunan Solidariti Politeknik Ungku Omar Bersama Palestin di Dewan Jubli Perak, PUO di sini pada Jumaat.

Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, perhimpunan tersebut merupakan tanda manifestasi sokongan solidariti untuk Palestin yang kini sedang berdepan dengan kesukaran susulan isu pertempuran Israel-Palestin.

"Perhimpunan berkenaan satu manifestasi keprihatinan warga PUO dalam melahirkan mahasiswa TVET yang holistik dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk ilmu pengetahuan, kemahiran teknikal serta cakna dan peka terhadap isu sejagat.

"Agar dapat membentuk jati diri sebenar sebagai modal insan negara," katanya.

Tambahnya, peserta perhimpunan yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PUO dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) itu turut mendengar ucapan dari aktivis MyCARE, Ir.Megat Shariffudin Ibrahim berkenaan situasi semasa di Palestin.


Menurutnya, MyCARE merupakan sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan bantuan kemanusiaan seperti bantuan bencana banjir, tempat perlindungan sementara, pembinaan semula rumah, pek makanan dan pendidikan serta aktif menggerakkan aktiviti bantuan untuk rakyat Palestin.

Pada majlis sama, Tabung Palestin PUO dilancarkan oleh Shamsuri bagi membolehkan sumbangan dari warga politeknik itu dikumpulkan sebelum kutipannya diserahkan kepada Tabung Khas Bantuan Untuk Palestin yang diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).