PUTRAJAYA: Polis menjalankan siasatan mengenai himpunan solidariti terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, laporan telah dibuat oleh pegawai media bertugas di lokasi himpunan solidariti terbabit.

"Kita (Polis Putrajaya) telah rujuk fakta kes kepada pihak Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas mengenai himpunan solidariti itu, kata beliau, seramai lima pegawai dan 39 anggota ditugaskan membabitkan semua elemen.

Ujarnya, dianggarkan seramai 150 hingga 170 individu terdiri daripada penyokong Muhyiddin serta petugas media berada di lokasi.

Pada Khamis, SPRM mengesahkan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditahan pada jam 1 petang selepas hadir memberi keterangan mengenai siasatan Jana Wibawa serta kes berkaitan.

Muhyiddin kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM dan keluar kira-kira jam 8.20 malam.

Ahli Parlimen Pagoh itu menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. - Sinar Harian