Perang di Syria telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Paling terkesan ialah golongan wanita dan kanak-kanak yang dilapor diseksa serta dihumban ke dalam penjara tanpa pembelaan sewajarnya.

Menyedari pentingnya nasib mereka dibela, kaum wanita dari serata dunia bangkit menentang kekejaman peperangan di Syria, khususnya ke atas golongan tersebut.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah melalui Konvoi Wanita Untuk Syria (The International Conscience Convoy) dengan penyertaan aktivis wanita dari 55 buah negara.

Konvoi antarabangsa yang dianjur sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac itu membabitkan kalangan wanita yang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesion, usia, etnik, kaum dan agama.

Matlamatnya ialah untuk menyampaikan mesej keamanan kepada dunia berkaitan kepentingan membebaskan tahanan di penjara, sekali gus mengakhiri kezaliman terhadap para wanita di negara bergolak Syria.

Antara badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang terlibat ialah Kesatuan Negara-Negara Islam (UNIW), Yayasan Belia Turki (TUGVA), Syarikat Penjagaan Kesihatan (IHH), Kesatuan Ikatan Muslim (Memur-Sen), selain turut mendapat sokongan kerajaan Turki.

BACA: Puluhan rakyat Syria terbunuh dalam serangan bom di Damsyik

BACA: Angka kematian di Syria terus meningkat, PBB buka undian gesa gencatan senjata


BACA: Rutin bantuan kemanusiaan di Timur Ghouta

BACA: Hanya Tuhan mampu selamatkan penduduk Ghouta?


Delegasi dari Malaysia diwakili oleh Global Mission Peace (GPM) dengan kerjasama Malaysia Life Line For Syria (MLLFS).

Mengetuai delegasi negara ialah Maria Kamel dan Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim.

Delegasi Malaysia telah bergerak awal pagi Isnin membawa dana bantuan sebanyak RM30,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia dan telah memulakan konvoi ke Timur Ghouta pada Selasa.

BACA: Akses kemanusiaan di Damsyik disekat pihak bertelagah - Penyiasat PBB

BACA: PBB gantung misi bantuan ke Ghouta


Setakat semalam, konvoi tersebut dilaporkan sudah tiba di ibu kota Ankara sebelum sampai ke sempadan Turki dan Syria.

Delegasi Malaysia dijangka pulang ke tanah air pada 12 Mac.