KUALA LUMPUR:Kerajaan dijangka mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang baharu, pada Sabtu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,  Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membentangkan perkara itu dalam mesyuarat hari ini, namun ia belum dimuktamadkan lagi.

Katanya, selain MKN, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga sudah melakukan pembentangan SOP baharu berkaitan sektor ekonomi negara.

"Ada beberapa cadangan termasuk untuk kelonggaran, kita sudah meminta MKN membincangkan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membentangkan SOP ini," katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan semula dalam Mesyuarat Khas Pelaksanaan PKPP memandangkan ia membabitkan dasar baharu.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan kerajaan akan membuka semula taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) berikutan dakwaan ramai pengusaha gulung tikar, beliau berkata kerajaan akan mengkaji lanjut.

Bagaimanapun katanya,  ia bergantung kepada pelbagai faktor khususnya membabitkan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak.

"Kita tidak mahu apabila kita beri kebenaran untuk buka, ia akan memberi risiko kepada kanak-kanak itu nanti.

"Saya faham, jika ia terus ditutup bagaimana pusat ini mahu menjalankan perniagaan, memandangkan ia baru saja dibuka selepas lama ditutup. Malah, ibu bapa yang bekerja juga perlu menghantar anak ini untuk dijaga," katanya.