AYER KEROH: Padah membekal secara berlebihan dan menyorok bekalan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan, sebuah syarikat pembekal dan seorang peruncit masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Syarikat Lesong Food Industries Sdn Bhd yang diwakili pemiliknya, Datuk Dr Zaini Md Taha dan seorang peruncit yang juga pemilik syarikat Era Prestij Resources, Samchah Abdullah, 51, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah secara berasingan di hadapan hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan terhadap syarikat Lesong Food Industries Sdn Bhd, syarikat itu didapati menjual 140 unit minyak masak 5 kilogram (kg) jenama Lesong dengan jumlah 1,200kg kepada syarikat Era Prestij Resources yang melebihi had kuantiti lesen syarikat itu.

Kesalahan itu dilakukan di premis Era Prestij Resources, Melaka Halal Hub Serkam Fasa 2, Merlimau kira-kira 3.30 petang 4 Oktober 2021 lalu.

Bagi kesalahan itu, syarikat berkenaan didapati melakukan kesalahan dibawah seksyen 14 akta kawalan bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga rm 2 juta bagi kesalahan pertama dan rm 5 juta maksima bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Manakala pertuduhan terhadap samchah, tertuduh pada masa dan tempat yang sama didapati menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan iaitu 140 unit minyak masak jenama lesong, 216 unit gula pasir jenama csr dan 90 unit tepung gandum pelbagai jenama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh didakwa sehingga RM1 juta atau penjara maksima tiga tahun atau kedua-duanya dan denda sehingga RM3 juta atau penjara lima tahun atau kedua-dua bagi kesalahan seterusnya.

Mengikut fakta kes, syarikat Era Prestij Resources telah menyimpan minyak masak lebih daripada had kuantiti lesen berniaga barang kawalan berjadual iaitu 500kg namun semasa peneriksaan dibuat, terdapat 700kg minyak dalam simpanan.

Siasatan mendapati, pembekal minyak masak kepada syarikat itu ialah Syarikat Lesong Food Industries Sdn Bhd.

Nariman pada prosiding yang dijalankan secara berasingan itu kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 kepada setiap tertuduh serta enam bulan penjara sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.

Kedua-dua prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Syazwani Zawawi manakala mereka tidak diwakili peguam.