'SOSMA akta drakonian, perlu dimansuhkan' - Ahli Parlimen PKR

Hassan membangkitkan isu itu ketika membahaskan penyata Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berhubung cadangan pindaan terhadap SOSMA. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR : Kerajaan dituntut untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang didakwa bersifat drakonian dan zalim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membangkitkan isu itu ketika membahaskan penyata Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berhubung cadangan pindaan terhadap SOSMA.
Menurut beliau, penggunaan SOSMA sering kali menimbulkan persoalan, termasuk penahanan ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) dan penahanan aktivis Maria Chin, yang juga bekas Pengerusi BERSIH, walaupun perjuangan mereka bertujuan memastikan pilihan raya adil dan bersih.
Hassan turut mempersoalkan sama ada tindakan terhadap mereka wajar dikategorikan sebagai ancaman keselamatan negara atau keganasan, sambil menekankan bahawa akta tersebut memberi kuasa menahan individu sehingga 28 hari tanpa pengadilan di mahkamah.
"Kenapa SOSMA digunakan untuk menahan jemaah GISBH. Adakah mereka terrorist (pengganas) atau organised crime (jenayah terancang)?
"Bagaimana Maria Chin yang juga Pengerusi BERSIH waktu itu ditahan di bawah SOSMA sedangkan BERSIH perjuang pilihan raya adil dan bersih. Ancaman nasional apa yang beliau lakukan?
"Itu tandanya akta ini zalim, drakonian, dan saya nak bagitahu kepada kerajaan sekarang bahawa kita berjanji dalam manifesto bahawa undang-undang drakonian akan dimansuhkan," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.
Selain itu kata Hassan, terdapat undang-undang lain boleh digunakan untuk menangani keganasan dan jenayah terancang, termasuk Akta Pencegahan Jenayah (POTA) dan peruntukan sedia ada dalam Kanun Keseksaan.
Beliau menekankan bahawa SOSMA sepatutnya tidak digunakan secara meluas untuk kes-kes yang tidak melibatkan ancaman nasional sebenar.
Hassan menegaskan penggubalan semula akta keselamatan perlu memastikan hak asasi individu dihormati, sambil tetap memberi ruang kepada kerajaan untuk menangani ancaman keselamatan sebenar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


