KUALA LUMPUR: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) amat effektif digunakan bagi membendung kegiatan ajaran sesat dan fahaman terpesong daripada menular dalam kalangan masyarakat, kata penganalisis jenayah Datuk Seri Akhbar Satar.

Katanya SOSMA sememangnya digubal bagi membendung kegiatan seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara dan ia sangat digeruni oleh mereka yang melanggar undang-undang.

Menurutnya di bawah akta berkenaan, seorang pegawai polis boleh menangkap dan menahan mana-mana individu atau kumpulan tanpa waran jika individu atau kumpulan itu dipercayai terlibat kegiatan yang mengancam ketenteraman dan keselamatan negara.

"(Mereka yang menyebarkan ajaran sesat dan) pengikutnya boleh ditahan di bawah SOSMA apabila didapati mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.

"Suspek yang ditahan hendaklah dimaklumkan sebab dia ditahan untuk selama 24 jam bagi tujuan penyiasatan.

"Polis 'juga' boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari (dan) peranti pengawasan elektronik boleh dipasangkan pada tertuduh (sekiranya) dilepaskan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

BACA: Individu cuba hasut, timbulkan kegentaran awam boleh dikenakan SOSMA - Hamzah

BACA: PMYT: Bukit Aman ambil keterangan 'Sittah Annur'


Ajaran Sesat | Polis kesan kumpulan PMYT dipimpin Sittah Annur

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang wanita dikenali sebagai 'Sittah Annur' yang dikaitkan dengan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

Sittah Annur mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.

Menurut Akhbar ajaran sesat perlu dibendung sejak dari awal kerana ia boleh menyebabkan seseorang itu tidak berkelakuan rasional dan terlalu taksub kepada pemimpin sehingga mengabaikan tanggungjawab, menjejaskan hubungan kekeluargaan serta mampu menggugat kestabilan negara.

Sementara itu Akhbar berkata setiap orang perlu melengkapkan diri dengan kefahaman agama Islam yang sebenar bagi mengelak terjerumus kepada ajaran sesat dan negara ini mempunyai agensi berkaitan untuk membantu memulihkan mereka secara profesional bagi yang telah terjebak dengan kegiatan seperti itu.

Ajaran Sesat | Polis kesan kumpulan PMYT dipimpin Sittah Annur




"Islam (adalah) agama yang mudah. Bagi meningkatkan lagi kefahaman terhadap Islam, ajaran ini hendaklah sentiasa didedahkan kepada masyarakat menerusi pelbagai medium seperti media cetak, elektronik dan media sosial yang mudah diakses oleh masyarakat," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata antara langkah awal yang perlu diambil bagi mengekang ajaran sesat ialah mengenal pasti, mengumpul keterangan dan jumlah ahli kumpulan yang disyaki terlibat dalam aktiviti itu.

Katanya mereka yang disyaki itu kemudian perlu dipanggil dan sekiranya didapati individu atau kumpulan itu sememangnya terjebak dengan ajaran sesat mereka perlu dipulihkan agar kembali ke pangkal jalan.

"Jika mereka (masih) berdegil dan meneruskan (kegiatan mereka) juga, (mereka) perlu dikenakan tindakan undang-undang dan dituduh di mahkamah kerana mengajar ajaran sesat," katanya.

-- BERNAMA