Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyita lebih 100 kenderaan persendirian yang beroperasi sebagai teksi haram di bawah platform perkhidmatan Uber dan GrabCar, sejak Oktober tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah berkata badan berkuasa itu melipatgandakan usaha membanteras kenderaan sedemikian yang menawarkan khidmat pemandu persendirian menerusi telefon pintar kerana ia perkhidmatan teksi haram.

"Usaha ini juga adalah selaras dengan komitmen kami untuk meningkatkan taraf perkhidmatan teksi di negara ini," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucap tama pada Forum Transformasi Bandar di sini, pada Selasa.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar sebelum ini mengumumkan perkhidmatan Uber dan GrabCar di negara ini tidak sah kerana kedua-dua perkhidmatan berkenaan tidak mempunyai lesen untuk mengangkut penumpang.

Ia juga menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) kerana menggunakan persendirian awam dan tidak mempunyai lesen pengendali daripada SPAD.

Pemandu atau pemilik teksi haram boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala, syarikat kenderaan boleh didenda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Mohd Azharuddin berkata langkah penyelesaian perlu ditangani segera dalam menangani kewujudan rangkaian syarikat pengangkutan bentuk baharu yang menjejaskan kepentingan sesetengah pihak dan pengguna.

"Perkara ini dibincangkan secara serius di peringkat dalaman," katanya.

Forum sehari anjuran Institut Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI) yang bertemakan 'Strategizing and Enhancing the Malaysian Urban Public Transport' itu bertujuan meneroka pembangunan sistem pengangkutan di negara ini dan cabaran serta peluang yang ada.