Spekulasi berkenaan dengan persaraan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud semakin memuncak selepas beliau tidak menghadirkan diri ke majlis penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Kerajaan Sarawak pada pagi Khamis.

Ini merupakan kali kedua Taib hanya menghantar wakil untuk mewakilinya bagi menghadiri majlis tersebut.

Selain itu, cubaan untuk mendapatkan komen Taib sendiri berkenaan isu tersebut masih gagal.

Cubaan untuk mendapatkan komen beberapa orang pucuk pimpinan parti Barisan Nasional (BN) di Sarawak turut gagal apabila semua yang di tanya untuk mendapatkan komen berkenaan isu tersebut turut tidak memberi jawapan yang dikehendaki dan hanya diminta menunggu selepas mesyuarat PBB hujung minggu ini.

Ketika bertanyakan kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr Alfred Jabu tentang ketidakhadiran Taib, Jabu turut tidak memberi komen.


Beliau hanya berkata ianya merupakan perkara biasa apabila Ketua Menteri mewakilkan anggota kabinet negeri yang lain untuk mewakilinya sekiranya beliau mempunyai tugasan yang lain yang lebih penting.

Jabu juga enggan menjawab ketika ditanya sama ada Taib berada di dalam negeri ataupun tidak.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Asfia bin Awang Nassar pula turut enggan mengulas tentang spekulasi yang bertiup kencang.

Dia turut menyatakan bagi mesyuarat majlis tertinggi parti yang akan diadakan Sabtu ini, beliau belum menerima apa apa agenda rasmi mesyuarat berkenaan.

Jabu dan Asfia ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia di Dewan Undangan Negeri Sarawak dimana Jabu telah hadir untuk mewakili Ketua Menteri Sarawak bagi menyampaikan pingat tersebut kepada penerima.

Malam tadi, Taib turut tidak menghadirkan diri ke majlis makan malam penghargaan sebuah agensi di Kuching dan hanya mewakilkan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan untuk hadir selepas desas desus tentang pengunduran beliau dari menjadi Ketua Menteri tersebar semalam dan ketidakhadiran Taib membuatkan ramai pihak terus berteka teki tentang spekulasi tersebut.

Awang Tengah turut tidak memberikan sebarang komen setelah beliau merupakan salah seorang nama yang dikaitkan bakal mengantikan Taib sekiranya pengunduran diri Taib itu menjadi kenyataan.

Selain itu, tiga lagi nama yang disebut untuk mengantikan Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak adalah Datuk Amar Abang Zohari Tun Openg, Tan Sri Adenan Satem dan Datuk Effendi Nawawi.