Skip to main content

Malaysia

Kementerian Digital perkukuh bakat tempatan, daripada pengguna kepada pencipta teknologi

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata komitmen ini diperkukuh susulan pengumuman Belanjawan 2027 yang meletakkan pembangunan modal insan berkemahiran masa hadapan sebagai pemacu utama ke arah mencapai aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030. - Gambar fail
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata komitmen ini diperkukuh susulan pengumuman Belanjawan 2027 yang meletakkan pembangunan modal insan berkemahiran masa hadapan sebagai pemacu utama ke arah mencapai aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030. - Gambar fail

Ringkasan AI

  • Kementerian Digital memperkukuh usaha membangunkan ekosistem bakat digital dan AI tempatan untuk memaksimumkan manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara.
  • Fokus kementerian adalah melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran bertaraf dunia agar mampu membina penyelesaian digital dan AI buatan Malaysia.
  • Kementerian menyelaras kerjasama antara agensi, industri, akademia dan komuniti untuk memperkukuh ekosistem digital serta memastikan tadbir urus AI yang selamat dan beretika.
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Digital melipatgandakan usaha membangunkan ekosistem bakat digital dan kecerdasan buatan (AI) tempatan bagi memastikan rakyat serta ekonomi negara meraih manfaat maksimum. 

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata komitmen ini diperkukuh susulan pengumuman Belanjawan 2027 yang meletakkan pembangunan modal insan berkemahiran masa hadapan sebagai pemacu utama ke arah mencapai aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.

“Sejajar dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 di bawah Kerangka Ekonomi MADANI serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Kementerian Digital menegaskan bahawa Malaysia bukan sekadar berhasrat menjadi pengguna teknologi. 

Advertisement

“Sebaliknya, fokus tertumpu kepada usaha membina keupayaan rakyat dan syarikat tempatan untuk menghasilkan penyelesaian digital serta AI yang menyelesaikan masalah sebenar rakyat, sektor awam dan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Beliau berkata Kementerian Digital berperanan menyatukan kekuatan kerajaan, industri, akademia dan komuniti sebagai pemangkin ekosistem digital dan AI negara. 

Advertisement

Berteraskan MD2030 dan Belanjawan 2027, fokus utama kementerian adalah melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran bertaraf dunia agar mereka beralih daripada sekadar mengetahui teknologi kepada membina aplikasi dan penyelesaian buatan Malaysia.

“Matlamat kementerian adalah untuk melahirkan lebih banyak penyelesaian buatan Malaysia yang memberi manfaat kepada rakyat, memenuhi keperluan negara dan berpotensi menembusi pasaran lebih luas,” katanya.

Bagi menjayakan matlamat tersebut, Gobind berkata Kementerian Digital bertindak menyelaras hala tuju, menghubungkan agensi berkaitan serta rakan ekosistem melalui peranan agensi dan entiti pelaksana.

Ia merangkumi peranan agensi dan entiti seperti GovTech Malaysia, Jabatan Digital Negara (JDN), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MyDIGITAL Corporation: AI Malaysia Berhad.

“Kementerian Digital sentiasa bersedia untuk memperluas jalinan kerjasama dengan syarikat tempatan, syarikat pemula, universiti, penyedia latihan dan komuniti teknologi bagi melengkapkan ekosistem melalui penyediaan kepakaran, penyelidikan, pembangunan produk serta program pemindahan ilmu.

“Kerajaan MADANI komited memastikan setiap pelaburan dan peruntukan fiskal diterjemahkan kepada hasil yang ketara, melahirkan lebih ramai pencipta teknologi bernilai tinggi, melonjakkan daya saing syarikat tempatan serta menjamin tadbir urus AI yang selamat dan beretika,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement