Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Saingan empat penjuru Bemban, calon Bersatu optimis raih kepercayaan pengundi

Muhammad Rabaie Ab Hamid bakal berdepan persaingan empat penjuru di DUN Bemban menentang penyandang kerusi Dr Mohd Yadzil Yaakub, Dr Muhammad Solehin Saleh dan calon Bebas, Abd Halim Said pada PRN Melaka ke-16. - Astro AWANI
Muhammad Rabaie Ab Hamid bakal berdepan persaingan empat penjuru di DUN Bemban menentang penyandang kerusi Dr Mohd Yadzil Yaakub, Dr Muhammad Solehin Saleh dan calon Bebas, Abd Halim Said pada PRN Melaka ke-16. - Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Pilihan Raya Negeri Melaka di DUN Bemban menyaksikan persaingan empat penjuru tanpa penyertaan calon Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
  • Calon Bersatu, Muhammad Rabaie Ab Hamid, yakin status anak tempatan memberi kelebihan serta mendapat maklum balas positif sepanjang kempen.
  • Manifesto beliau menumpukan kebajikan masyarakat, bantuan pendidikan, insentif kepada pengantin dan bayi, serta cadangan pembangunan industri berteknologi tinggi di Bemban.
Advertisement

BEMBAN: Persaingan empat penjuru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini tidak mematahkan keyakinan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Rabaie Ab Hamid untuk meraih kepercayaan pengundi.

Sebaliknya, beliau melihat persaingan itu sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat, selain yakin statusnya sebagai anak jati Bemban menjadi kelebihan dalam mendekati masyarakat setempat.

Menurut Muhammad Rabaie, maklum balas positif diterima sepanjang tempoh berkempen, khususnya daripada penduduk yang mahukan wakil rakyat tempatan dan memahami permasalahan di kawasan berkenaan.

Advertisement

โ€œPersaingan empat penjuru ini satu pertandingan yang sihat kerana kita melihat ini sebagai demokrasi. Tetapi saya rasa saya ada sedikit kelebihan sebab saya satu-satunya calon anak tempatan untuk DUN Bemban.

โ€œSaya lebih memahami selok-belok dan jerit perih masyarakat Bemban. Apa yang saya dapat maklum balas sepanjang kempen, rata-rata mereka mahukan calon tempatan, anak jati Bemban sendiri,โ€ katanya ketika ditemui Astro AWANI di Bilik Gerakan Parti Pribumi BERSATU Cawangan Bemban pada Jumaat.

Advertisement

Mengulas gerak kerja kempen, Muhammad Rabaie berkata pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka terus menjadi keutamaan, termasuk mengunjungi kampung, warung, masjid, surau serta kawasan perniagaan sekitar Bemban.

"Penerimaan penduduk setakat ini sebagai positif, selain mendakwa terdapat keinginan dalam kalangan masyarakat untuk melihat perubahan, khususnya dari segi penyampaian perkhidmatan wakil rakyat," katanya.

Mengulas mengenai tawaran kepada pengundi, Muhammad Rabaie berkata manifestonya turut memberi tumpuan kepada kebajikan masyarakat menerusi beberapa bentuk bantuan, termasuk 100 kilogram beras kepada bakal pengantin, komputer riba kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi serta bantuan RM300 kepada bayi yang baru dilahirkan.

Beliau turut mencadangkan pembangunan kawasan industri berteraskan teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI) bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda, sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka untuk mencari pekerjaan di luar Bemban.

Menurutnya, kekurangan kawasan industri menyebabkan sebahagian anak muda terpaksa berhijrah ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Beliau berharap pengundi daripada semua kaum memberikan peluang kepadanya untuk membawa perubahan serta memastikan kebajikan dan pembangunan penduduk Bemban terus diberi perhatian.

DUN Bemban menyaksikan persaingan empat penjuru pada PRN Melaka kali ini tanpa penglibatan calon daripada dua gabungan utama kerajaan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). 

Pertembungan itu melibatkan penyandang kerusi, Dr Mohd Yadzil Yaakub daripada Perikatan Nasional (PN), Dr Muhammad Solehin Saleh daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dan calon Bebas, Abd Halim Said.

Must Watch Video

Advertisement