Bagi pelajar yang mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka tidak perlu gusar jika tidak mendapat jumlah A yang diharapkan kerana terdapat perkara yang lebih besar daripada keputusan SPM.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (SMK CBN), Rosemand A. Lawrence berkata, perkara yang lebih penting ialah melahirkan pelajar yang berkualiti.

“Pada masa kini, jumlah A bukanlah perkara yang utama tetapi perkara yang lebih penting ialah membina keyakinan diri para pelajar,” katanya lagi.

BACA: SPM 2017: GPN meningkat 0.15 berbanding 2016

Beliau turut menambah, menjadi tanggungjawabnya untuk melahirkan pemimpin yang berintegriti.

“Saya selalu berikan peringatan kepada pelajar saya, pendidikan bukan hanya berlandaskan akademik tetapi mengambil kira aktiviti kokorikulum dan keperibadian,” kata beliau ketika ditemubual Astro AWANI di sini hari ini.

“Saya juga tidak mahu mempersiapkan pelajar saya untuk SPM, Tingkatan Enam ataupun universiti tetapi membawa mereka melangkah ke realiti dunia,” tambah beliau yang berkhidmat di sekolah itu sejak 2017.

Menurutnya lagi, beliau mahukan pelajarnya menjadi seseorang yang berani menyuarakan pandangan, yakin pada diri sendiri, dan berdiri teguh kepada kebenaran.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 menunjukkan pencapaian lebih baik dengan peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 0.15 berbanding tahun 2016.