KUALA LUMPUR: Tuduhan segelintir pihak mengenai skala gred keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dilihat sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Tegas Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, dengan beberapa penangguhan yang terpaksa dibuat kerajaan akibat pandemik COVID-19, banyak faktor yang boleh menyumbang kepada pencapaian tersebut.

“Jika kita lihat, daripada 5 Oktober 2020 iaitu tarikh asal SPM, sehingga ke 22 Februari 2021 iaitu tarikh pelaksanaan SPM (hari pertama peperiksaan).

“Terdapat empat bulan setengah tempoh itu dipanjangkan. Jadi banyak faktor yang boleh menyumbang kepada keputusan tersebut .

“Maka, tuduhan di luar sana saya ingin jelaskan, sejujur-jujurnya ya, tuduhan di luar sana bahawa seolah-olah keputusan ini dibuat-buat adalah satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya ketika ditemu bual dalam program Soal Rakyat di saluran TV3 yang membawa topik ‘Cabaran SPM dalam era pandemik’.

Tegas Radzi lagi, soal integriti bagi dirinya dan pihak yang terlibat dalam menguruskan SPM adalah sentiasa utuh dan dihormati.

“Integriti Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sentiasa utuh, sentiasa dihormati dan seperti yang saya sebut, sejujurnya saya tidak pernah sebut langsung kepada (LPM) untuk menjadikan keputusan tahun ini perlu lebih baik daripada sebelumnya, tidak masuk akal,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila ada pihak memaparkan skala gred SPM yang menunjukkan jadual skala markah diturunkan, antaranya untuk Matematik Tambahan, pelajar mendapat A- meskipun memperoleh skor hanya 50, manakala Bahasa Inggeris dan Melayu, dengan skor 66, pelajar memperoleh A-.

BACA: Skala gred SPM tular di media sosial bukan milik Lembaga Peperiksaan - KPM

Susulan itu, Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan polis pada jam Jumaat malam dan juga laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi siasatan lanjut.