NATIONAL
'SPM 2024 membanggakan tapi wajar dijadikan asas tambah baik' - Fadhlina

Fadhlina (tengah) meraikan kegembiraan bersama calon-calon peperiksaan SPM 2024 setelah memperoleh keputusan cemerlang semasa ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Kajang. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Khamis disifatkan membanggakan, namun Kementerian Pendidikan menegaskan ia wajar dijadikan asas untuk penambahbaikan dalam pelaksanaan peperiksaan akan datang.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, meskipun terdapat peningkatan, beberapa pendekatan baharu masih perlu dikenal pasti bagi memastikan prestasi pelajar terus dipertingkat.
"Ini antara keputusan terbaik dalam sejarah SPM. Kita merakamkan ucapan syukur dan tahniah kepada semua calon SPM 2024 yang menerima keputusan mereka pada pagi ini.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anak-anak, guru-guru, ibu bapa dan seluruh ahli masyarakat yang memberikan sokongan kepada anak-anak kita secara keseluruhannya. Keputusan ini amat membanggakan."Keputusan ini juga menunjukkan peningkatan dan memberi gambaran mengenai beberapa pendekatan yang perlu kita ambil untuk terus menambah baik.
"Keputusan pada pagi ini sangat penting, terutama dalam persiapan untuk SPM tahun ini," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan penyerahan keputusan SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Kajang di sini, pada Khamis.
Fadhlina, yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, berharap agar semua pelajar, tanpa mengira keputusan, terus meneruskan pembelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
"Selain daripada keputusan ini, apa yang lebih penting adalah untuk terus menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Negara kita menyediakan peluang yang sama rata kepada semua untuk mencapai kejayaan.
"Insya-Allah, kita akan memberikan sokongan penuh kepada anak-anak ini," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami