IPOH: Hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang berjalan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Perak, berjalan lancar di bawah pemantauan pihak berkuasa.

Tinjauan di salah sebuah sekolah di sini awal pagi tadi mendapati, peperiksaan berjalan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu, susulan penularan pandemik COVID-19.

Anggota polis dilihat turut ditugaskan bagi melakukan pemantauan di lokasi-lokasi peperiksaan awam dan sekolah yang terlibat sepanjang peperiksaan berlangsung.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya berpuas hati dengan pengendalian SOP oleh pihak sekolah dan pelajar.

"Kita buat lawatan pada pagi ini, dan kita pantau dari segi SOP. Kita tengok pengendalian sekolah ini dalam menghadapi peperiksaan SPM.

"Dan kita dapati, Alhamdulillah, semua dalam keadaan teratur, sebelum pelajar-pelajar ini masuk ke dalam kelas, untuk mereka berehat dan sebagainya, SOP berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di sini pagi ini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali dalam satu kenyataan berkata, bilangan pusat peperiksaan SPM di negeri ini adalah sebanyak 327.

Daripada jumlah itu, 293 adalah pusat peperiksaan di sekolah manakala 34 lagi pusat persendirian.

Seramai 33,079 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan ini, iaitu 31,676 calon sekolah dan 1,403 calon persendirian.

Tambahnya, Jabatan Pendidikan Perak (JPN) telah melantik seramai 2,932 petugas dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan tanggungjawab bagi melancarkan perjalanan peperiksaan.

Selain itu, JPN turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Kesihatan Negeri, Pusat Kesihatan Daerah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).