Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan untuk menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke satu tarikh lain berikutan penutupan sekolah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Cadangan itu diutarakan oleh Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) sehubungan pelaksanaan PKP sehingga 28 April, 2020.

Beliau berkata, sekiranya kurikulum sekolah tidak dapat dijalankan seperti yang dijadualkan, kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan itu.

Namun demikian, beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, penangguhan itu bukanlah satu penyelesaian mutlak.

Sebaliknya, beliau menegaskan, kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar dalam masa terdekat.

"Ekoran itu, kerajaan perlu memperluaskan capaian internet dalam kalangan pelajar.

"Misalnya, pelajar-pelajar di kawasan pedalaman yang berdepan dengan masalah ini boleh diberi tugasan khas yang memerlukan mereka selesai dalam masa dua minggu," katanya dalam siaran langsung yang disiarkan di Facebook beliau di sini pada Selasa.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan pelajar boleh kekal di rumah atau di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) namun kurikulum perlu diteruskan.

"Jangan lepaskan keadaan seperti ini," jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada golongan guru yang mengambil inisiatif sendiri untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam talian namun usaha itu terbatas ekoran kadar penembusan internet yang rendah.

Terdahulu, beliau menyatakan kebimbangan dengan tahap perbelanjaan pakej rangsangan yang diumumkan baru-baru ini kerana dilihat belum memadai untuk merapatkan jurang pendapatan bagi melindungi penduduk daripada ketidakjaminan makanan dan kebuluran, terutamanya kanak-kanak.

"Dalam saat yang serba mencabar seperti hari ini, kepimpinan yang berwibawa bermaksud mengurus krisis dengan penilaian yang jujur dan berfakta.

"Bukan dengan memberi gambaran palsu dan bersifat selektif," katanya yang merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menjangkakan ekonomi Malaysia akan mengalami pertumbuhan kira-kira 5.8 peratus pada tahun depan.

Memetik laporan Jabatan Perangkaan, Anwar memberitahu, 35 peratus rakyat Malaysia yang bekerja sendiri akan kehilangan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada jumlah pendapatan mereka, sementara 46 peratus lagi akan kehilangan pekerjaan.

"Dalam konteks ini Pakatan Harapan menyeru agar satu sesi khas Parlimen diadakan bagi membincangkan permasalahan ini secepat mungkin," tambahnya.