Peratus undi popular yang lebih tinggi yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat (50.9%) berbanding Barisan Nasional (47.4%) tidak bermakna bahawa ia boleh membentuk kerajaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan perkara ini ini selain menyatakan bahawa kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pihak pembangkang harus membentuk kerajaan baru adalah salah.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga berkata dakwaan Anwar bahawa tidak ada penambahbaikan oleh SPR pada pilihan raya yang terbaru adalah "satu pembohongan yang besar untuk mengelirukan rakyat serta fitnah semata-mata."

Abdul Aziz berkata mengikut undang-undang pilihan raya di Malaysia, "parti BN yang telah disahkan menang dalam PRU ke-13 layak untuk membentuk kerajaan di peringkat pusat."

Beliau berkata ini adalah benar walaupun jumlah undi 5,623,984 yang diperolehi Pakatan mengatasi undi yang diperolehi daripada BN yang berjumlah 5,237,699, namun sistem pilihan raya di Malaysia adalah berdasarkan majoriti mudah dan sistem perwakilan kawasan yang telah digunakan sejak pilihan raya pertama pada tahun 1959.

"Berasaskan kepada sistem tersebut, calon yang menang dalam pertandingan bagi sesuatu bahagian pilihan raya walaupun memperoleh majoriti satu undi, calon itu diisytiharkan sebagai calon yang dipilih (menang dalam pilihan raya).”

"Berasaskan kepada asas yang sama, ia digunakan bagi menentukan parti yang berhak untuk menubuhkan kerajaan baik di peringkat pusat ataupun di peringkat negeri, iaitu parti yang mendapat jumlah perwakilan (kerusi) yang terbanyak walau pun memperoleh majoriti satu kerusi,” katanya.

"Sistem pilihan raya tersebut di panggil sistem First Past The Post," kata Abdul Aziz lagi.

Menjawab isu lain yang dibangkitkan oleh Anwar, Abdul Aziz berkata daftar pemilih telah diwartakan dan telah melalui proses pembersihan yang menyeluruh.

Status kewarganegaraan juga telah diperiksa menerusi talian dan menerusi rekod alamat dari pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara.

“Daftar pemilih yang telah digunakan dalam PRU Ke-13 adalah daftar pemilih yang terbersih mungkin yang disediakan oleh SPR.”

Abdul Aziz berkata oleh kerana sistem pendaftaran pemilih menggunakan nombor kad pengenalan 12 angka yang unik sebagai pengesan pendaftaran, maka mustahil terdapat pendaftaran berganda dalam Daftar Pemilih PRU Ke-13.

“Melalui sistem pendaftaran ini, tidak ada sesiapa yang bukan warganegara sama ada dia Bangladesh, Indonesia, China atau India, yang dapat mendaftar sebagai pengundi,” katanya.

“Daftar Pemilih yang digunakan dalam PRU Ke-13 adalah Daftar Pemilih yang sah dan diwartakan serta muktamad. Adalah mustahil untuk memasukkan nama-nama pengundi tambahan selepas sesuatu Daftar Pemilih itu diwartakan untuk tujuan pilihan raya.”

“Oleh yang demikian andaian dan dakwaan kononnya terdapat 40 ribu warga Bangladesh yang diangkut untuk mengundi dalam PRU Ke-13 baru-baru ini adalah satu kenyataan yang tidak berasas dan fitnah semata-mata,” katanya.

Abdul Aziz juga berkata penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya adalah hanya sebagai elemen tambahan kepada prosedur pengundian bagi mengelakkan sebarang percubaan untuk mengundi dua kali.

“Berdasarkan kepada undang-undang pilihan raya, asas utama untuk menyemak identiti pengundi dan kaedah memastikan pengundi tidak dapat mengundi lebih dari sekali ialah senarai nama di dalam Daftar Pemilih yang diguna pakai di setiap Saluran/Tempat Mengundi pada Hari Pengundian.”