SPRM beku 41 akaun bank berjumlah RM70 juta, sita aset RM13 juta

Setakat ini dua syarikat dikenal pasti terbabit dalam sindiket itu dan antara modus operandi yang digunakan ialah pembelian melalui peniaga tidak sah dan penipuan pelekat.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 41 akaun bank melibatkan 16 akaun syarikat dan 25 akaun perbankan milik individu yang dianggarkan sebanyak RM70 juta susulan serbuan terhadap syarikat dipercayai terlibat dalam penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import dan eksport pada 29 Sept lepas.
Menurut sumber, serbuan yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia menerusi Ops Grip secara Multi Agency Task Force itu turut menyita empat aset tidak alih bernilai kira-kira RM13 juta.
Katanya, setakat ini dua syarikat dikenal pasti terbabit dalam sindiket itu dan antara modus operandi yang digunakan ialah pembelian melalui peniaga tidak sah dan penipuan pelekat.
"Siasatan awal mendapati tayar yang diseludup ialah tayar baharu, tetapi mempunyai pelbagai isu seperti penipuan pelekat dan juga tampering barcode."Bagaimanapun, hingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan masih dijalankan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman berkata SPRM turut membuka kertas penyiasatan tatakelola berkaitan kes terbabit.
"Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) akan melakukan siasatan dokumen berkaitan perolehan tayar-tayar itu kerana didapati tayar terbabit tidak didaftarkan serta ada unsur penyeludupan atau import tidak sah yang boleh menyebabkan risiko keselamatan pengguna," katanya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami