SPRM cadang moratorium enam bulan terhadap import sisa plastik, e-sisa

Azam berkata, tempoh itu dicadangkan sebagai langkah percubaan untuk melihat implikasi terhadap ekonomi, alam sekitar serta sistem penguatkuasaan negara. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan kepada kerajaan agar mengenakan moratorium selama enam bulan terhadap pengimportan sisa plastik serta buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) bagi menilai kesan sebenar pengimportan bahan itu kepada negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata tempoh itu dicadangkan sebagai langkah percubaan untuk melihat implikasi sebenar terhadap ekonomi, alam sekitar serta sistem penguatkuasaan negara selain tiada keperluan kemasukan barangan berkenaan dalam jumlah besar.
"Perkara ini akan dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) bagi meneliti punca kuasa yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dasar jangka panjang dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Sisa Dalam Negara di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM Datuk Mohd Zaki Hassan, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Dalam mesyuarat itu, Azam menegaskan keperluan kerjasama rapat antara 12 pasukan petugas khas yang dilantik, khususnya melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
JKDM misalnya berperanan mengawal import dan eksport serta mencegah penyeludupan selaras dengan peruntukan Akta Kastam 1967, manakala JAS bertanggungjawab melaksana dan menguatkuasakan Konvensyen Basel termasuk kelulusan serta pemantauan import dan eksport sisa.
"MITI pula berperanan menggubal dasar perdagangan dan industri serta mengawal kelulusan lesen berkaitan import dan eksport," katanya.
Azam berkata penubuhan pasukan petugas khas itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan bahawa isu pengimportan sisa plastik dan e-sisa bukan lagi sekadar isu teknikal atau alam sekitar, sebaliknya telah menjadi isu tadbir urus, integriti penguatkuasaan serta kepentingan nasional.
Menerusi surat Ketua Setiausaha Negara bertarikh 8 Dis lepas SPRM dilantik sebagai pengerusi pasukan berkenaan menandakan peralihan kepada pendekatan pengurusan risiko nasional secara menyeluruh.
Isu berkenaan turut berkait rapat dengan obligasi antarabangsa Malaysia di bawah Konvensyen Basel yang mengawal pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya.
Laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan 2025 menunjukkan Malaysia antara negara teratas mengimport sisa sejak 2023, manakala Mismanaged Waste Index 2025 mengklasifikasikan Malaysia dalam kategori tinggi dengan kira-kira 26.4 peratus sisa plastik tidak diuruskan dengan baik.
Malaysia mula mengetatkan sekatan import sisa plastik berkuat kuasa 1 Julai tahun lepas dengan kebanyakan import dilarang kecuali melalui sistem permit SIRIM dan MITI yang bertujuan mengurangkan kemasukan plastik buangan asing serta memastikan hanya sisa sesuai untuk kitar semula dibenarkan masuk ke negara ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


