PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah memperoleh kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin sejak seminggu lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Daim sepatutnya sudah boleh dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, pegawai penyiasat SPRM telah berhubung dengan peguam Daim, namun pihaknya dimaklumkan bahawa bekas Menteri Kewangan itu dimasukkan ke hospital atas alasan tidak dinyatakan.

"Pihak SPRM sedang menyiapkan pertuduhan, tetapi beliau (Daim) telah dimasukkan hospital dan tidak dimaklumkan secara jelas atas sebab apa.

"Oleh sebab demikian, pertuduhan tidak dapat lagi dilaksanakan buat masa ini dan kita akan melihat kepada keadaan semasa.

"Namun begitu, kita di SPRM tetap akan menuduhnya pada masa yang sesuai," katanya pada Rabu.

Azam bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat pertuduhan terhadap Tun Daim.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan isteri Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid didakwa ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis kerana tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Dalam pertuduhan tersebut, Na'imah, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Na'imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI.

Pada 29 Disember lalu, SPRM mengesahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora yang sudah dimulakan sejak Februari lalu.

Satu Notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) telah diserahkan oleh suruhanjaya itu supaya mengisytiharkan segala aset sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis pada 7 Jun lalu.

Daim mendakwa telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai, 10 Ogos, 11 September, 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.

Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). -Sinar Harian